CADANGAN melanjutkan tempoh moratarium atau penangguhan bayaran balik pinjaman kewangan belum diputuskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya sudah mendengar pandangan pelbagai pihak sama ada usahawan atau bank dan melihat jika ada keperluan untuk melanjutkan tempoh moratorium.
“Kita sudah mendengar semua pandangan sama ada dari usahawan kecil dan besar serta pihak bank dan kita belum membuat keputusan muktamad.
“Secara umumnya selepas mempertimbangkan semua itu, agak sukar untuk kita lanjutkan (tempoh moratorium) kerana keutamaan kita adalah untuk memulihkan sektor ekonomi,” katanya ketika sidang media di Jeli, hari ini.
Beliau berkata, aspek memulihkan ekonomi menjadi keutamaan pada masa sekarang dan lanjutan pembayaran tidak diperlukan jika sektor itu mampu pulih seperti situasi sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Menurutnya, pihaknya tidak menafikan moratarium yang bakal berakhir pada September ini berjaya mengurangkan beban usahawan.
“Bagaimanapun, prioriti (keutamaan) kini adalah untuk menggerakkan ekonomi dan apabila lebih rancak, keperluan untuk lanjutkan moratorium akan berkurangan. Namun jika ekonomi masih malap, kerajaan akan mencari langkah seterusnya.
“Mengikut laporan Jabatan Perangkaan, sebanyak 90 peratus bidang perniagaan sudah bergerak rancak tapi dari segi ‘volume’, tak sampai lagi contohnya sektor perhotelan hanya 15 peratus dan peruncitan pula 30 peratus.
“Apapun kita yakin apabila lebih banyak sektor ekonomi bergerak (selepas ini), keadaan akan menjadi bertambah baik maka keperluan untuk dilanjutkan tempoh moratarium tidaklah mendesak,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan program Menjana Ekonomi Digital @Jeli di Pondok Perdana Bukit Bunga (Pondok Moden), Jeli yang dihadiri kira-kira 100 usahawan dalam talian.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, platform dalam talian adalah kaedah paling relevan pada masa sekarang untuk menjalankan perniagaan terutama dalam pasca Covid-19.
“Kerajaan akan memperkasakan pusat internet terutama di kawasan luar bandar dalam membantu usahawan dalam talian menjalankan perniagaan mereka,” katanya.