PETALING JAYA: PAS mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dimuktamadkan pada Ramadan ini, dengan cadangan bagi penelitian boleh dikemuka kemudian.
Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tidak perlu kerajaan menunggu pembangkang mengusulkan cadangan, sepertimana diminta Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
“Kerajaan tidak perlu menunggu pembangkang untuk mengusulkan cadangan (kemukakan surat dan nyatakan apa yang dikehendaki terlebih dahulu) kerana perkara itu boleh dikemukakan dalam jawatankuasa (yang ditubuhkan) itu.
“Jika cadangan itu diusulkan dalam jawatankuasa terbabit, ia akan memudahkan kesepakatan. Kita harapkan jawatankuasa ini dapat dimuktamadkan pada bulan Ramadan ini,” katanya kepada Berita Harian.
Semalam, Fadillah mencadangkan supaya Ahli Parlimen pembangkang menyatakan komitmen menerusi cadangan bagi membolehkan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan.
Katanya, beliau memerlukan komitmen itu mengambil kira penolakan draf cadangan berkait peruntukan seperti digariskan kerajaan sebelum ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan sudah mengemukakan cadangan seperti diminta itu kepada kerajaan sejak Oktober lalu.
Tanpa mendedahkan butiran mengenai cadangan dikemukakan, Syed Saddiq berkata beliau juga tidak mempunyai sebarang masalah dalam mengikuti usul yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Ia termasuklah membuat pengisytiharan harta dan memfokuskan kepada proses semak dan imbang sebagai pembangkang yang baik.
“Saya juga tiada masalah untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkenaan,” katanya.