PETALING JAYA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menegaskan bahawa ucapan Naib Canselor, Massila Kamalrudin yang didakwa memberikan nasihat tidak sesuai kepada pelajar, diambil di luar konteks.
Universiti itu mendakwa video ucapan Massila di YouTube telah disunting dan tidak menggambarkan maksud sebenar yang ingin disampaikannya.
Dalam video itu, Massila berkata tidak salah untuk memikat dekan atau pensyarah tetapi jangan mempunyai hubungan ketika di universiti.
“Kalau nak mengurat dekan sekali pun tiada masalah, jodoh itu di tangan tuhan tetapi jangan buat skandal dalam universiti,” katanya dalam video itu yang kini sudah diturunkan.
Bagaimanapun, UTem berkata Massila hanya menasihati pelajar supaya menjaga tata kelakuan sebagai mahasiswa dan menjauhkan perkara-perkara yang tidak baik.
Universiti itu juga mengkritik laporan berita negatif berkait ucapan Massila itu dan menegaskan ia tidak benar sama sekali. Katanya, kenyataan itu berbaur fitnah untuk memburukan imej dan reputasi pengurusan UTeM.
“Ia kemungkinan digerakkan oleh individu dan sekumpulan pihak yang tidak berpuas hati dengan pekeliling UTeM yang mewajibkan setiap ahli akademik menulis jurnal setiap tahun,” kata universiti itu dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menggesa Massila meletak jawatan kerana ucapan beliau itu.
Universiti itu dalam mempertahankan kepimpinan Massila, menyenaraikan pencapaian beliau antaranya UTeM dinobatkan sebagai universiti TVET terbaik Malaysia, manakala Massila sendiri mendapat anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET), dan anugerah ‘World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award’ di Persidangan Ekonomi dan Perniagaan Wanita Dunia 2024.