UEM Sunrise Bhd membeli tapak pembangunan utama di 21-53 Hoddle Street, Collingwood, Melbourne dengan nilai AU$43 juta (RM126 juta).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, tapak seluas 5,390 meter persegi itu yang kini menempatkan pengedar kenderaan di Melbourne, dibeli daripada Jowett Properties dan akan dijadikan sebagai pembangunan bercampur.
“Pembelian tapak Collingwood itu menjadi fasa baharu UEM Sunrise di Melbourne dan kesinambungan kepada kedudukan yang aktif dalam pasaran Australia berikutan kejayaan projek Aurora Melbourne Central dan Conservatory.
“Tidak dinafikan Collingwood berkembang menjadi presint kediaman dan komersial berdasarkan jarak yang dekat dengan daerah pusat perniagaan (CBD), budaya kafe yang meriah dan komuniti yang menarik.
“UEM Sunrise berharap dapat membawa kepakaran dan visi pembangunan kami ke daerah ini, memberikan kediaman dan ruang komersial yang berkualiti kepada penduduk Melbourne yang semakin meningkat dan membantu mewujudkan pekerjaan melalui pelaksanaan projek,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya, sektor kediaman dan komersial di Melbourne terus kukuh walaupun menghadapi cabaran Covid-19 dengan kerajaan Victoria komited kepada pembangunan yang berterusan dan kelulusan kepada projek pembinaan.
“Kami optimis berhubung peluang yang strategik dan mempunyai kedudukan yang baik,” katanya.
UEM Sunrise antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia menyiapkan projek utama di Australia bernilai AU$800 juta (RM2.3 bilion) baru-baru ini, Aurora Melbourne Central di CBD Melbourne.
Komponen kediaman projek itu mencatatkan kejayaan jualan yang menggalakkan apabila 95 peratus unit kediaman yang ditawarkan habis dijual hanya kira-kira dua minggu selepas pelancarannya dan 100 peratus dijual sebelum siap.
Aurora Melbourne Central turut mencapai kadar penyelesaian 98 peratus untuk kediamannya setakat ini.
Source link