PETALING JAYA: Umno membantah tindakan “lompat-melompat” ahli parti dalam kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki susulan desas-desus Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tengku Zafrul Aziz menyertai PKR.
Beliau berkata, budaya mengambil ahli atau pemimpin parti hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan hingga menggugat kestabilan gabungan perpaduan.
“Cukuplah pengalaman pahit lampau dalam permuafakatan politik lalu hingga meruntuhkan kerajaan akibat perlakuan khianat dan lompat-melompat serta mencuri ahli sesama kalangan parti dalam permuafakatan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan ada perbincangan awal untuk Tengku Zafrul menyertai parti itu.
Beliau dilaporkan berkata, PKR berpegang kepada prinsip terbuka menerima sesiapa saja, tetapi tidak mengajak, selain mahu proses itu dilakukan secara baik.
Asyraf yang juga ketua sekretariat kerajaan perpaduan berkata, Umno memandang serius kenyataan Anwar mengesahkan perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR.
Menurutnya, Anwar telah merujuk dan meminta pandangan Presiden Umno, Zahid Hamidi berhubung perkara itu.
“Pendirian Umno tetap tegas bahawa Umno tidak akan sesekali menerima dan membenarkan perlakuan ‘lompat-melompat’ ahli mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.”
Jumaat lalu, FMT memetik sumber dalaman Umno Selangor berkata, rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.
Tetapi, Zahid semalam mengesahkan tiada sebarang pemakluman daripada Tengku Zafrul berhubung ura-ura penyertaannya dalam PKR.
Source link