PETALING JAYA: Hakim Hamidi mendakwa perjuangan Umno diketuai abangnya Zahid semakin lemah dalam menjaga hak Melayu dan Islam dengan tegas, menyebabkannya memohon menyertai PAS.
Hakim turut mendakwa keputusan meninggalkan Umno kerana ingin kembali kepada perjuangan keluarganya yang mana bapanya Hamidi Abdul Fatah sebelum ini seorang aktivis PAS.
Menurutnya, namun bapanya menyertai Umno mengikut jejak langkah Zahid kerana yakin Umno sebagai parti Melayu komited menjaga Islam.
“Umno yang dulu menjaga hak Melayu dan agama Islam dengan tegas kini semakin lemah.
“Kekuatan Melayu semakin terhakis dan agama Islam sering kali dipermainkan individu-individu tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Hakim yang mendakwa dirinya kerap membantu abangnya di Bagan Datuk menegaskan: “Umno sudah tidak lagi seperti zaman saya. Kepercayaan saya pada perjuangan asal Umno mula pudar.”
Tegasnya, keadaan itu membuatkan dirinya ingin kembali kepada PAS yang didakwanya masih mampu mempertahankan hak Melayu dan kedaulatan Islam di negara.
“Seperti mana yang pernah disuarakan oleh Tun Abdul Razak pada 1973, apabila Umno dalam masalah, orang Melayu harus bersatu bersama PAS,” dakwanya.
Hakim menjelaskan walaupun beliau memilih jalan politik berbeza dengan Zahid, hubungan persaudaraan antara mereka tetap utuh.
“Parti boleh berbeza, tetapi silaturahim tidak akan terputus,” katanya.
Hari ini, beliau memohon menyertai PAS dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Hadi Awang.
Bercakap kepada FMT, Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki yang juga Yang Dipertua PAS Bagan Datuk memaklumkan permohonan itu belum diluluskan.
“Baru isi borang mohon jadi ahli PAS, belum lulus lagi,” katanya.
Source link