KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini mempertahankan strategi kerajaan tidak mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi minyak ‘terlalu awal’ sebagai langkah memastikan harga barangan kekal terkawal.
Beliau berkata, jika pengumuman dibuat terlalu awal, peniaga boleh menggunakannya sebagai alasan menaikkan harga berkali-kali.
“Kita kena imbangi kesan isyarat diberikan lebih awal kerana masalahnya, kenaikan harga barang itu ditetapkan oleh peniaga,” katanya di Dewan Rakyat.
“Sebab itu, kerajaan memutuskan lebih baik sekiranya (pengumuman) dibuat setelah semuanya selesai pada peringkat kerajaan kerana akan mengurangkan risiko kenaikan (harga barangan) berkali-kali.
“Jadi lebih baik keputusan itu dikekalkan pada peringkat pengetahuan kerajaan sahaja dan akan diumumkan apabila kerajaan telah membuat keputusan.”
Dalam temu bual dengan Bloomberg pada Forum Ekonomi Dunia di China bulan lepas, Rafizi ditanya sama ada penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan tahun ini dengan jadual yang diumumkan lebih awal.
“Kita akan sembunyikan (dahulu), sama seperti (penyasaran subsidi) diesel,” kata Rafizi.
“Kita kejutkan semua orang dengan (pengumuman penyasaran) subsidi diesel, dan saya rasa semua orang harus bersedia untuk satu lagi kejutan.”
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagaimanapun kemudian berkata, Putrajaya belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
Ronald Kiandee (PN-Beluran) hari ini bertanya sama ada pendekatan ‘kejutan’ ini akan membantu meringankan beban rakyat.
Beliau juga bertanya tentang impak pengumuman sedemikian terhadap ekonomi dan rakyat.
Source link