PEMBENTUKAN Kabinet kerajaan baharu dijangka dapat membantu memulihkan semula ekonomi dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Pendekatan baharu yang dibuat perdana menteri dengan melantik barisan menteri yang mempunyai kelebihan dalam bidang masing-masing dilihat progresif.
“Nampaknya, pendekatan baharu memiliki kelebihan berbanding sebelum ini, jika betul mereka yang dilantik ini berpotensi, saya rasa ekonomi kita dalam tempoh dua tahun lagi akan jadi lebih baik,” menurut penganalisis ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Di samping itu, katanya, pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan juga dilihat sebagai pendekatan yang bijak kerana selalunya golongan korporat tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
“Prinsipnya kita tahu bahawa kedua-dua kerajaan sebelum ini melantik menteri kewangan dalam kalangan orang politik dan kita sudahpun tengok banyak kepincangan dan isu-isu berlaku.
“Sebenarnya, jawatan sebagai menteri kewangan ini adalah peranan penting dan kritikal bagi sesebuah negara.
“Tugas menteri kewangan ini kritikal kerana dalam konteks sekarang ia perlu memastikan fiskal kerajaan stabil dengan situasi ekonomi semasa.
“Beliau juga perlu memastikan negara mempunyai pendapatan kerajaan yang kukuh dengan mencari kaedah baharu terutama dalam sistem percukaian Malaysia bagi memastikan pendapatan kerajaan melalui cukai itu dapat disalurkan semula kepada rakyat,” katanya.
Source link