KOTA KINABALU: Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau berkata, parti itu secara prinsipnya akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Ia termasuk kerusi DUN Kuamut dimenangi Masiung Banah atas tiket Upko dan Barisan Nasional pada 2018, sebelum beliau keluar parti dan menyertai Warisan.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Masiung bertukar kem dengan menyokong bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman yang gagal dalam cubaan membentuk kerajaan negeri baru.
Tiga lagi kerusi DUN yang dimenangi Upko ialah Kuala Penyu, Paginatan dan Nabawan, tetapi penyandangnya, Limus Jury, Abidin Madingkir serta Bobbey Suan meninggalkan parti itu.
Satu-satunya kerusi yang masih dimiliki Upko sekarang ialah Kadamaian yang disandang Ewon Benedick.
Sementara itu, Wilfred mengakui beliau menerima permintaan beberapa pihak untuk bertanding pada PRN Sabah.
Bagaimanapun, beliau yang juga timbalan ketua menteri berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan.
“Saya akan mempertimbangkan, apapun ini bukan masa untuk mengumumkan, tunggu dalam masa 2 minggu nanti.
“Sebarang keputusan berhubung siapa calon dan mana kerusi ditandingi juga akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat selepas mengadakan mesyuarat pimpinan parti,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Warisan, Pakatan Harapan (PH) serta Upko di ibu pejabat Warisan, di Kolombong hari ini.