Video rasuah Adun mungkin nak lemahkan kerajaan negeri, kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasat dakwaan Adun terlibat rasuah kerana ia ‘mempunyai motif-motif tertentu’.

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, rakaman audio dan video menunjukkan Adun Sabah dikatakan terlibat dengan amalan rasuah disebarkan berkemungkinan bertujuan ‘melemahkan’ kerajaannya.

Bercakap kepada pemberita selepas pembentangan belanjawan negeri 2025, Hajiji menegaskan bahawa pentadbirannya kekal ‘kukuh’ walaupun dengan perkembangan skandal tersebut.

Hajiji juga berkata, beliau tidak dapat memberikan komen tentang sebuah video yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita hari ini membabitkan Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya, Adun Sabah keempat didakwa dilihat membincangkan rasuah dengan seorang ahli perniagaan.

“Ini susah saya (mahu) komen. Saya serahkan kepada pihak yang berwajib untuk menyiasat hal ini kerana ini mempunyai motif-motif yang tertentu … itu saja saya boleh komen.

“Kerajaan negeri hari ini kekal kukuh perpaduan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga Pakatan Harapan (PH) Plus, ini cukup mantap. Jadi itulah kedudukannya.

“Kita tunggulah siasatan pihak berwajib,” katanya di Kota Kinabalu, lapor Sabah Media.

Terdahulu, sebuah portal berita dalam talian melaporkan telah menonton lapan video daripada pemberi maklumat yang menunjukkan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan Adun mengenai rasuah untuk lesen projek.

Pemberi maklumat itu dilaporkan bersedia memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan jaminan dia tidak akan disiasat.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya tidak boleh memberikan jaminan imuniti secara bertulis tanpa maklumat terperinci mengenai dakwaan kelakuan tidak wajar itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga dilaporkan berkata, pemberi maklumat tidak boleh mengharapkan perlindungan jika terlibat dengan rasuah.

Hajiji sebelum ini berkata, beliau tiada perkara untuk disembunyikan berhubung kes membabitkan Adun tersebut, malah pihaknya akan membantu siasatan SPRM.

Source link

adun sabahanwar ibrahimhajiji noorkerajaan Sabahlesen projekpemberi maklumatrasuahShahelmey Yahyasprm
Comments (0)
Add Comment