KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi berkata, ujian Covid-19 ke atas pekerja asing tidak harus dijadikan syarat bagi membenarkan perniagaan memulakan semula operasi.
Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa sistem kesihatan negeri itu tidak berkemampuan menanganinya jika ia dijadikan syarat bagi membolehkan perniagaan dibuka semula.
“Kita boleh buat (ujian) secara berperingkat, tetapi jika ia dijadikan syarat untuk buka semula perniagaan, akan timbul masalah,” katanya di sini, hari ini.
Christina berkata, hospital kerajaan di Sabah tidak akan mampu menampung sekiranya ujian itu dijalankan di kemudahan mereka.
Katanya, ia (ujian) boleh dilakukan oleh sektor swasta.
Semalam Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa pekerja asing di seluruh negara diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan lonjakan kes melibatkan kumpulan itu.
Ismail berkata, pekerja asing perlu menjalani ujian swab, selain menambah semua mereka yang bekerja dalam semua sektor, termasuk pembinaan, pembuatan dan komersial wajib menjalani ujian itu.
Christina berkata, langkah yang perlu diambil ialah memastikan firma mewujudkan sistem yang dapat menjamin pekerja mereka sihat dan pada masa sama mengesan yang sakit.
Katanya, Jabatan Kesihatan Sabah kini membantu perniagaan yang mahu memulakan semula perniagaan, selain menasihati syarikat supaya mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) masing-masing.
“Anda harus faham bahawa pandemik ini masih ada. Jadi bekerja semula kini, bukan bermakna bekerja seperti dahulu.
“Anda perlu pastikan langkah keselamatan ada, misalnya saringan dan langkah lain yang telah kita maklumkan semasa berlakunya wabak seperti jarak sosial, penggunaan topeng dan sanitasi tangan.
“Langkah ini perlu dimasukkan ke dalam SOP mereka, sama ada melibatkian pekerja di bahagian depan atau yang lain,” katanya.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon memberitahu FMT bahawa ujian “polymerase chain reaction” (PCR) tidak dapat diadakan sebelum operasi (perniagaan) dimulakan semula.
“Tugas pertama setiap firma ialah mewujudkan sistem pemantauan kesihatan dalam perniagaan mereka.
“Ini termasuklah melaksanakan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung SOP operasi bagi menghindari saling jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan dan pelanggan atau klien yang berurusan di premis mereka.
“Ini lebih sesuai kerana keputusan negatif Covid-19 sekarang bukan bermakna ia akan terus negatif selepas ini. Paling penting ialah patuh kepada garis panduan pencegahan Covid-19,” katanya.
Semalam Poon menyuarakan keraguan mengenai kemampuan negeri itu menjalankan lebih 100,000 ujian ke atas pekerja asing kerana Sabah mempunyai bekalan reagen yang terhad untuk ujian PCR.
Source link