GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail) yang mengendalikan rangkaian pasar raya Giant, TMC, Cold Storage, Mercato, GEkspres dan ShopSmart memperkenalkan waktu beli-belah khusus untuk warga emas dan golongan berkeperluan khas bagi memastikan mereka mendapat barangan yang dikehendaki.
Inisiatif berkenaan akan bermula minggu ini dan dijadual setiap Selasa dan Rabu dalam jam pertama waktu operasi di semua rangkaian pasar raya kendalian GCH Retail.
Ketua Pegawai Operasi, Makanan Asia Tenggara, Dairy Farm Group, Chris Bush berkata, pihaknya juga akan menyediakan kaunter pembayaran khas untuk golongan ini pada waktu operasi biasa.
“Langkah ini diambil memandangkan jumlah permintaan yang meningkat di pasar raya dan mungkin menyebabkan ada segelintir golongan warga emas dan berkeperluan khas ini tidak dapat ‘bersaing’ dengan pengguna lain dalam mendapatkan barangan yang mereka perlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan penanda jarak sosial di kaunter pembayaran.
“Selain itu, kami juga menyediakan cecair pembasmi kuman di kaunter pembayaran dan pintu masuk serta membuat pembersihan troli, bakul dan kaunter.
“Malah, pemeriksaan suhu badan turut dilakukan di pintu masuk,” katanya.
Bush berkata, dalam keadaan sukar yang melanda negara ketika ini, pihaknya tetap mengutamakan keselamatan pelanggan.
“Sebagai antara entiti yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami terus komited untuk memastikan pelanggan mendapatkan barangan yang dikehendaki.
“Malah, kami juga berharap pelanggan dapat mematuhi peraturan yang kami tetapkan khususnya berkaitan jarak sosial,” katanya.
Source link