Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor berkata bahagian itu mahukan pemimpin setempat untuk memudahkan mereka bertemu jika ada masalah berbangkit, sedangkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tinggal di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tewas dalam pemilihan jawatan ketua Bersatu Machang semalam bukan sebab diboikot pemimpin parti, kata Ketua Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor.
Sebaliknya, beliau berkata, bahagian itu mahukan pemimpin setempat.
“Tidak timbul isu Wan Ahmad Fayhsal diboikot kerana beliau berkhidmat dengan cemerlang di Parlimen Machang.
“Namun, kena faham budaya di Kelantan, kebanyakan mereka mahu pemimpin atau ketua bahagian yang tinggal di kawasan berkenaan untuk memudahkan mereka bertemu sekiranya ada masalah berbangkit, sedangkan Wan Ahmad Fayhsal tinggal di Kuala Lumpur,” katanya menurut Berita Harian.
Menurutnya, Wan Ahmad Fayhsal mencabar jawatan itu yang sememangnya disandang Kamaruddin Ab Kadir.
“Jika sebelum ini jawatan itu milik Wan Ahmad Fayhsal lain cerita, untuk semalam dia pencabar sahaja dan menerusi pemilihan semalam, Kamaruddin berjaya mempertahankan jawatannya.”
Dalam pemilihan kepemimpinan Bersatu 2024 semalam, Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi hanya mendapat 26 undi, manakala penyandang Kamaruddin memperoleh 103 undi daripada perwakilan.
Source link