AFFIN Bank Berhad (AFFINBANK) melantik Wan Razly Abdullah Wan Ali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, berkuat kuasa 2 April 2020.
Wan Razly mengambil alih jawatan itu dari Kamarul Ariffin Mohd Jamil yang
telah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau pada 31 Mac 2020.
AFFINBANK dalam kenyataan hari ini berkata, Wan Razly adalah seorang yang berpengalaman dalam bidang perbankan komersial dan pelaburan, di Malaysia dan Indonesia.
“Beliau mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam strategi korporat, kewangan, perbankan pelaburan, perkhidmatan perakaunan dan audit.
“Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1995 bersama PricewaterhouseCoopers
yang menyediakan perkhidmatan audit kepada industri perkhidmatan kewangan di
London, dan selepas itu telah menyertai Northern Trust, London pada tahun
1999, di mana beliau telah menguruskan Jabatan Perkhidmatan Audit,” katanya.
Menurutnya, beliau kemudiannya menyertai Aseambankers Malaysia (kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank Berhad) sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan pada 2002.
Pada 2004, Wan Razly telah menyertai CIMB Investment Bank sebagai Pengarah
Penyelesaian Pelanggan Korporat di mana beliau bertanggungjawab untuk menyediakan
penyelesaian kewangan yang optimum kepada pelanggan korporat.
“Wan Razly kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan di CIMB Niaga
pada 2009.
“Ketika berkhidmat di CIMB Niaga, beliau telah membantu CIMB Niaga memperoleh pencapaian signifikan bagi Pertumbuhan Aset, Keuntungan
Sebelum Cukai, Pertumbuhan Akaun Simpanan dan Semasa (CASA) serta Kualiti
Aset,” katanya.
Katanya, sebelum pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Wan Razly memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kanan bagi salah satu Kumpulan Perbankan terkemuka di Malaysia.
Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-Undang dan Perakaunan
dari University of Manchester, United Kingdom dan juga ahli Institut Akauntan
Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).
Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan AFFINBANK merakamkan setinggi
penghargaan dan terima kasih kepada Kamarul Ariffin atas kepimpinan dan
sumbangannya kepada Bank dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.
Source link