PETALING JAYA: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas, Islamic State (IS), bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Suhaina Sarwan, 46, memandangkan kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan IS dan perbuatan pengganas dalam komputer riba.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, kira-kira 2.20 petang pada 30 Mei.
Menurut Berita Harian, bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga pekerja kilang didakwa memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan IS dan perbuatan pengganas.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di Blok 9, Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, juga pada waktu dan tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 29 Julai sebagai sebutan bagi keputusan permohonan pemindahan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kelmarin, Suhaini didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bersama suaminya dan seorang lagi atas lima pertuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan IS, bulan lalu.
Terdahulu, tertuduh yang tiba di pekarangan mahkamah pada 8.20 pagi dikawal ketat lebih 10 anggota polis bersenjata.
Source link