PETALING JAYA: Pengguna media sosial menyelar rancangan kerajaan Kelantan menjadikan musim tengkujuh, yang mengakibatkan banjir saban tahun, sebagai produk pelancongan, menyifatkan cadangan sedemikian sebagai tidak sensitif dan ‘bodoh’.
Awal hari ini, Astro Awani melaporkan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Kamarudin Md Noor sebagai berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji langkah mempromosikan kegiatan seperti luncur air dan makanan tradisi musim tengkujuh untuk menarik pelancong.
Kamarudin berkata, usaha itu dicadangkan memandangkan Kelantan ‘sepi’ tanpa kehadiran pelancong pada musim itu.
Pengguna media sosial, terutamanya di X, kebanyakannya mengutuk cadangan itu, antaranya mengingatkan exco itu bahawa banyak nyawa terkorban akibat banjir.
Seorang pengguna X, @ZacZakirin13 menyifatkan kenyataan Kamarudin sebagai ‘bodoh’.
“Tak sensitif langsung, setiap tahun banjir, mesti kita akan terbaca (kisah) insan tidak berdosa meninggal dunia akibat banjir,” katanya.
“(Exco) ini boleh terfikir nak buat aktiviti pelancongan (ketika musim tengkujuh). Memang ‘out of touch’!”
Seorang lagi pengguna X, @XavierNaxa berkata, sebagai rakyat Kelantan, beliau ‘malu dengan pemikiran sebegini’.
“Kami rakyat Kelantan sedang berdepan musibah besar, peliknya mereka seolah-olah mahu meraikannya
“Kalau bodoh boleh gilap jadi berlian, rasanya mereka dah boleh jadi jutawan,” katanya.
Sementara itu, @eKharus bertanya bagaimana pemimpin sebegini boleh diundi pada pilihan raya.
Dilaporkan petang ini bahawa lebih 51,000 orang terpaksa berpindah dari rumah mereka akibat banjir di pantai barat Semenanjung.
Di Kelantan, negeri paling teruk terjejas, 42,048 mangsa ditempatkan di 189 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.
Source link