PETALING JAYA: Implikasi lebih meluas dipertimbangkan kesan gerakan boikot walaupun kempen itu tidak ketara menjejaskan ekonomi negara, kata ahli ekonomi.
Goh Lim Thye dari Universiti Malaya, berkata boikot berpanjangan terhadap barangan asing berpotensi menghalang pelabur luar, selain mewujudkan ketidaktentuan pasaran.
Katanya, penutupan perniagaan makanan dan minuman jenama asing boleh meningkatkan kadar pengangguran bagi 1.37 juta rakyat Malaysia dan 207,000 bukan warganegara yang sedang bekerja dalam industri itu, meskipun ia hanya mewakili 2.4% kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Gerakan boikot berterusan mampu mengakibatkan kehilangan kerja dalam sektor ini, meningkatkan kadar pengangguran dan mengurangkan aktiviti ekonomi dalam industri berkaitan.
“Penutupan (perniagaan) meluas juga membangkitkan persepsi negatif dalam kalangan pelabur berkait kestabilan pasaran,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penutupan perniagaan boleh menjurus kesan terhadap ekonomi setempat, melibatkan gangguan sistem rangkaian bekalan.
“Pengeluar tempatan yang membekal produk kepada outlet berkenaan seperti petani, pengedar, dan pengeluar juga akan mendapat tempias, membawa kepada kesan riak terhadap seluruh ekonomi.”
Pada April, QSR Brands (M) Holdings Bhd, yang memiliki dan mengoperasikan restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken, berkata pihaknya menutup sementara beberapa cawangannya susulan boikot, ekoran dikatakan berkait perang Israel ke atas Gaza.
Pada 31 Julai, Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis Parlimen, menyatakan gerakan boikot tidak menjejaskan ekonomi mengambil kira subsektor makanan dan minuman menyumbang kurang daripada 2.5% kepada KDNK.
Nazari Ismail, ahli ekonomi dan juga pengerusi kumpulan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, bersetuju dengan dapatan kementerian itu, sambil menyatakan kebanyakan pengguna beralih arah daripada produk asing kepada keluaran tempatan.
“Orang memboikot produk kopi Nestlé sebaliknya akan menyokong jenama lain seperti Indocafe atau produk tempatan lain,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Goh berkata, walaupun peralihan kepada barangan tempatan mengekalkan tahap belanja pengguna, beliau mengingatkan ia mungkin tidak mencukupi mengimbangi sepenuhnya permintaan yang biasanya dipenuhi perusahaan milik asing.
“Perniagaan tempatan mungkin merasai kesukaran meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Lama kelamaan, isu ini akan mengekang pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan produktiviti keseluruhan,” katanya.
Bagi menangani kesan jangka panjang gerakan boikot, Goh menggesa kerajaan memperkenal pelepasan cukai, geran, atau pembiayaan tanpa faedah untuk menyokong pengembangan perniagaan tempatan, dan latihan serta program latihan kemahiran semula bagi menempatkan individu kehilangan kerja.
Sementara itu, Nazari berkata, syarikat bertanggungjawab memastikan nilai mereka sejajar dengan pelanggan mereka.
“Kesalahan perlu ditanggung pengurusan tertinggi syarikat global ini kerana gagal memahami sentimen dan tidak menukar strategi mereka agar bersesuaian dengan sentimen ini.”
Source link