PETALING JAYA: Sebanyak 127 NGO dan yayasan merayu kerajaan memberi pelepasan kepada badan terbabit untuk terus mengedarkan makanan, perubatan dan barang keperluan kepada golongan memerlukan susulan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.
Mereka berjanji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan mematuhi garis panduan kesihatan serta keselamatan yang ditetapkan.
“Kami yakin NGO terlibat akan terus mengambil langkah sepatutnya demi menjaga kesihatan dan keselamatan, termasuk menggunakan pembersih tangan, memastikan penjarakan sosial dan mengehadkan bilangan pekerja kepada yang diperlukan sahaja,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Antara NGO terbabit ialah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Tenaganita, Jaringan Orang Asal SeMalaysia, Majlis Belia Malaysia, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Yayasan Foodbank Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Dapur Jalanan Kuala Lumpur.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan NGO tidak lagi dibenarkan mengedar makanan kepada golongan memerlukan kerana kerajaan mahu meminimumkan pergerakan semasa PKP.
Katanya, NGO perlu menghantar makanan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat di setiap daerah yang berperanan sebagai pusat kutipan dan anggota Rela serta Jabatan Pertahanan Awam akan mengedarkan makanan itu kepada kumpulan sasar.
Hari ini, 127 NGO dan yayasan itu berkata, mereka sedar betapa serius situasi sekarang dan memberi komitmen penuh untuk membantu kerajaan bersama memerangi Covid-19.
Tetapi, katanya, kerajaan mungkin tidak tahu berapa banyak komuniti dan golongan berisiko yang terjejas akibat PKP serta menghadapi kesukaran mendapatkan barangan keperluan asas, termasuk makanan.
“Golongan yang terkesan termasuk B40, golongan miskin di bandar dan luar bandar, rakyat hilang punca pendapatan akibat PKP, golongan tua, tidak boleh keluar rumah, orang sakit, anak yatim, Orang Asli, pekerja asing, pelarian dan ramai lagi.
“Kerajaan agaknya tidak mungkin ada senarai semua golongan berisiko yang memerlukan bantuan pada masa ini atau mampu mengambil alih semua usaha membantu komuniti ini dengan segera.
“Dasar pemusatan yang dicadangkan ini dibimbangi ialah hasil perancangan kurang efektif dan pemahaman yang mungkin tidak lengkap berhubung permasalahan yang dihadapi golongan miskin.”
Katanya, kewujudan NGO bukannya untuk menggantikan peranan kerajaan atau memburukkan nama baik kerajaan.
“Konsep #KitaJagaKita bukan berhasrat memberi apa-apa implikasi bahawa kerajaan gagal dalam mana-mana usaha – ianya hanya menekankan krisis ini cukup parah sehingga semua rakyat Malaysia diharuskan memikul tanggungjawab untuk menjaga kebajikan satu sama lain.
“Krisis ini menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia. Kita semua perlu bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang bersatu padu.”