PETALING JAYA: Dua suspek lelaki serta seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes samun bersenjatakan parang di Muar yang tular Selasa lalu direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Suzana Mokhtar terhadap mereka di Mahkamah Majistret Muar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan menggunakan senjata, menurut Berita Harian.
Suspek lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta dekat Sungkai, Perak kira-kira 9 pagi semalam hasil maklumat dan intipan polis.
Teman wanita kepada salah seorang suspek yang bersama mereka turut ditahan.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki diburu polis selepas disyaki merompak sebuah rumah dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Sri Treh.
Kegiatan kedua-dua suspek berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa hingga tular di media sosial.
Dua mangsa terdiri bapa berusia 60 tahun anak lelaki, 34, cedera ketika cuba melawan dua penyamun terbabit yang menggunakan kereta Perodua Myvi.
Bagaimanapun, Perodua Myvi yang digunakan kedua-dua penyamun ditemui di Jasin, Melaka.