NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 24 pekerja migran maut, manakala 36 lagi cedera dalam nahas jalan raya di Uttar Pradesh, utara India pada Sabtu.
Nahas berlaku selepas treler yang dinaiki pekerja migran itu melanggar sebuah trak yang sedang berhenti di daerah Auraiya, kira-kira 200km dari Lucknow, lapor media India.
Kebanyakan mangsa berasal dari Jharkhand dan Benggala Barat.
Minggu lalu, 16 pekerja migran yang tertidur di atas landasan kereta api, maut digilis dalam kejadian di barat Maharashtra.
Mereka dikatakan tertidur selepas kepenatan berjalan kaki untuk pulang ke kampung halaman apabila operasi pengangkutan awam dihentikan ekoran penularan Covid-19.