JAKARTA: Empat orang termasuk dua juruterbang maut selepas dua pesawat tentera merempuh sisi gunung ketika sesi latihan, menurut jurucakap tentera udara.
Dua pesawat Embraer Super Tucano itu berlepas dari Malang di Jawa Timur pagi tadi sebelum terputus hubungan setengah jam kemudian ketika latihan formasi biasa.
“Semua mayat telah ditemui,” kata jurucakap, Agung Sasongko Jati kepada AFP.
“Dua sudah berada di hangar, dua masih dalam perjalanan ke pangkalan.”
Katanya, masing-masing dua juruterbang dan pembantu juruterbang itu ditemui susulan maklumat orang ramai mengenai lokasi nahas.
Mereka ditemui di kawasan gunung berhampiran Gunung Bromo, Jawa Timur.
Penyiasat akan menganalisis rakaman penerbangan dan data lain daripada pesawat berkenaan, namun tidak mungkin dapat sampai ke lokasi itu sebelum esok.
“Penyiasat nahas akan tahu apa sebenarnya berlaku. Mereka akan mempunyai komunikasi suara, data penerbangan, serta data enjin dan video,” kata Jati.
Menurutnya, dua pesawat serang ringan turboprop ringan itu dalam keadaan baik.
Indonesia mempunyai rekod keselamatan udara lemah walaupun banyak bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungi ribuan pulaunya.
Tiga nahas pesawat komersial besar dilaporkan berlaku dalam tempoh sembilan tahun lalu.