Dua model elektrik daripada Zeekr, iaitu Zeekr X dan Zeekr 009 kini sedang dipamerkan di Sunway Pinnacle, Bandar Sunway bermula lapan pagi hingga tujuh malam, sehingga Sabtu, 12 Oktober ini. Anda juga boleh terus membuat tempahan di sana.
Pengedar rasmi Zeekr di Malaysia, iaitu Sentinel Automotive sudah membuka tempahan untuk Zeekr X dan 009 sejak minggu lepas, dengan harga anggaran awal masing-masing RM180,000 dan RM370,000 ke bawah. Bayaran tempahan yang dikenakan adalah RM2,000 untuk X dan RM4,000 untuk 009 – boleh dikembalikan.
Mengimbas semula perincian kenderaan ini, Zeekr X adalah sebuah SUV yang dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA), yang juga digunakan untuk smart #1 dan #3, serta Volvo EX30.
Dua varian ditawarkan untuk X ini iaitu Premium RWD dan Flagship AWD. Kedua-duanya menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC), dengan kapasiti 66 kWh dan pada varian Premium RWD ia boleh menyediakan jarak gerak sehingga 440 km (WLTP). Menggerakkan rodanya adalah motor elektrik berkuasa 272 PS/343 Nm, dan ia boleh memecut 0-100 kmj dalam masa 5.6 saat. Varian AWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik dengan kuasa 428 PS/543 Nm dan jarak gerak 420 km.
Kedua-dua varian ini boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, yang boleh menaikkan tahap bateri dari kosong ke 80% dalam masa 30 minit. Kadar cas AC maksimum pula adalah 7.2 kW bagi Premium RWD dan 11 kW untuk Flagship AWD – tujuh jam untuk penuh.
Untuk 009 pula, ia boleh dianggap sebagai satu alternatif kepada Toyota Alphard/Vellfire, tetapi dalam versi elektrik. Dengan panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm, saiznya jelas lebih besar dari dua model Toyota tersebut.


Spesifikasi model yang dibawa ke Malaysia menyamai pasaran Thailand, dengan bateri 116-kWh, jarak gerak WLTP 582 km dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat. Ini adalah versi dipertingkat yang diperkenalkan di Hong Kong Julai lalu.
Walaupun begitu, sementara 009 di Thailand ditawarkan dalam versi Flagship AWD enam tempat duduk, kita pula mendapat dua varian yang dipanggil Luxury (tujuh tempat duduk) dan Ultra Luxury (enam tempat duduk). Varian Luxury itu adalah satu pilihan baru bagi 009, dengan tetepan 2-2-3 dan tempat duduk kapten di baris keduanya tidak begitu lebar berbanding yang terdapat pada Ultra Luxury (2-2-2).
Kedua-dua varian menggunakan tetapan dua motor dengan kemampuan 612 PS/693 Nm, dan bateri NMC yang boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 150 kW – 10-80% dalam masa 30 minit. Kelengkapan lain yang diberi adalah seperti sistem bunyi Yamaha 30 pembesar suara dan suspensi udara.
GALERI: Zeekr X di BIMS 2024
GALERI: Zeekr 009 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.