Miti akan memulakan siasatan mengikut Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan memulakan siasatan duti antilambakan ke atas rod dawai keluli yang berasal dari atau dieksport oleh China, Indonesia dan Vietnam.
Miti berkata, siasatan itu dibuat berikutan petisyen difailkan oleh Southern Steel Bhd, pengeluar domestik yang mendakwa import dari negara-negara itu dijual pada harga yang lebih rendah berbanding produk domestik.
Southern Steel juga mendakwa import yang dilambakkan meningkat dengan ketara, menyebabkan kemudaratan material kepada industri domestik, tambahnya.
Siasatan akan dimulakan bawah Seksyen 20 Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan 7 Peraturan-peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994.
“Penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
“Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti antilambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kemudaratan kepada industri domestik daripada berlanjutan.”
MITI akan mengedarkan set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeksport atau pengeluar dari negara yang didakwa, kerajaan negara berkenaan dan persatuan perniagaan yang berkaitan.
Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti antilambakan ini boleh memohon kepada Miti untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis selewat-lewatnya pada 25 Okt, dan menyerahkan pandangan, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan selewat-lewatnya pada 9 Nov.
Source link