BAGHDAD: Iraq mengharamkan semua perhimpunan awam dan menyekat kemasukan pelancong dari Kuwait dan Bahrain, kata Menteri Kesihatan pada Rabu, melarang perjalanan ke atau dari 9 negara kerana kebimbangan meningkat berhubung penyebaran Covid-19.
Penduduk Iraq kini dilarang melakukan perjalanan ke China, Iran, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Itali, Bahrain, dan Kuwait, kata Menteri Kesihatan Jaafar Allawi.
Allawi juga mengarahkan penggantungan sekolah dan universiti dan penutupan pawagam, kafe, kelab dan tempat perhimpunan awam seluruh negara mulai 27 Feb hingga 7 Mac.
Ketakutan terhadap penyebaran virus itu berlaku selepas Iraq berdepan krisis domestik dengan hampir 500 orang terbunuh sejak 1 Okt dalam demonstrasi anti-kerajaan besar-besaran.
“Semua perhimpunan di tempat awam, atas sebab apa sekali pun, diharamkan, dan pihak berkuasa yang berkaitan mesti mengambil semua langkah untuk menguatkuasakan ini,” kata Allawi, yang mengetuai pasukan petugas khas kerajaan menangani virus itu.
Covid-19 dipercayai berasal dari pasar yang menjual hidupan liar di bandar Wuhan pada tahun lalu dan menjangkiti kira-kira 80,000 orang dan mengorbankan lebih 2,700, kebanyakannya di China.