KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap ahli keluarga jemaah tabligh yang bertindak menyembunyikan maklumat mengenai ahli keluarga yang hadir ke himpunan tabligh pada awal Mac lalu.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, tempoh menasihati baki jemaah tabligh yang masih enggan membuat ujian kesihatan sudah tamat, apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah masuk ke fasa ke-2.
“Sudah sampai masanya. Ini sudah minggu kedua, kali ini kita akan ambil tindakan tegas. Saya tidak mahu perkara ini saya luahkan, tetapi sudah sampai masanya. Hal ini kerana ribuan yang datang daripada kluster tabligh, sebab itu kita minta mereka keluar. Kita hendak mereka buat saringan sahaja.
“Kalau sesiapa tahu, contohnya dalam keluarga dia ada yang positif dan 5 orang yang pergi buat saringan, bila ditanya dari mana mereka dapat, dan didapati ada ahli keluarga kluster tabligh, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.