HALIFSYA Enterprise, pengusaha daging pekasam di bawah jenama Maksu komited memperluaskan produknya ke seluruh negara dengan melantik ejen di setiap negeri.
Pengasasnya, Hatipah Ahmad berkata, permintaan terhadap daging pekasam begitu menggalakkan dan bermula dengan hanya perisa original kini pihaknya mempunyai tiga lagi pilihan daging pekasam.
“Idea menjual daging pekasam ini hadir ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya tidak menyangka ia mendapat sambutan orang ramai.
“Keenakan tersendiri daging pekasam Maksu ini membuatkannya berbeza dengan produk yang ada di pasaran malah selain daging pekasam original terdapat juga perisa lada hitam, cili kering dan halia.
“Semua produk kami dijual pada harga berpatutan iaitu serendah RM10 dan sekarang kami membuka peluang orang ramai yang ingin menjana pendapatan sampingan menjadi ejen dengan modal hanya RM80,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, produk ini mudah dijual, disajikan dan mempunyai penggemar tersendiri kerana daging pekasam Maksu diperbuat daripada daging jenis top side lembu dan lebih lembut.
Hatipah berkata, pihaknya juga memasarkan daging pekasam Maksu menggunakan platform media sosial iaitu melalui Facebook (FB) dan Instagram (IG).
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya memfokus jualan pekasam jenis daging saja, namun perancangan akan datang pihaknya menyasarkan untuk menghasilkan pekasam ayam.
“Selain itu, saya merancang menembusi pasaran pasar raya besar seperti Mydin dan Malakat Mall berikutan sekarang daging pekasam Maksu sudah boleh didapati di pasar mini Seri Rampai Kuala Lumpur, D’Prima Halal Kajang dan Pasar Raya Nur di Terengganu.