Macau scam di tahap krisis?

0

Sindiket Macau scam dan perjudian atas talian merupakan sindiket jenayah terancang yang mengaut keuntungan atas angin dengan meninggalkan ribuan mangsa sehelai sepinggang dan porak-poranda untuk menghadapi masa depan.

Mengikut statistik polis, pada 2019 saja, terdapat 28,508 kes “scam” dan 18,130 akaun dibuka membabitkan RM2.5 bilion. Lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian dikesan dari 2019 hingga bulan ini.

Ekoran kekerapan rakyat yang terlalu mudah terpedaya dengan modus operandi mereka, Macau scam saban hari menjadi tajuk berita.

Terkini ialah kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpas satu cabang sindiket, termasuk penangkapan beberapa pegawai polis yang disyaki menjadi dalang operasi haram ini. Pembongkaran sindiket mutakhir ini dipercayai hanyalah sebahagian kecil.

SPRM turut membekukan 730 akaun bank bernilai RM80 juta. SPRM merampas wang tunai RM5 juta dan 23 kenderaan mewah dalam siasatan pengubahan wang serta sindiket Macau scam sejak beberapa hari lalu.

Pada masa sama, SPRM menahan 20 suspek berhubung siasatan kes itu, membabitkan 11 orang awam, 8 penguat kuasa dan seorang warga China. Aktiviti ini dikendalikan sindiket besar dan terancang.

Semakin kerap kita membaca dan melihat di media cetak mahupun elektronik, pelbagai pendedahan dibuat berkaitan jenayah siber, khususnya jenayah penipuan atau “scam”, sudah tentu jumlahnya akan meningkat.

Pelbagai cara dilakukan untuk mengutip wang perlindungan daripada pengusaha Macau scam dan perjudian atas talian yang dijalankan beberapa sindiket dipercayai dianggotai warga China.

Kuala Lumpur dijadikan pusat atau markas Macau scam dan perjudian atas talian dikendalikan sindiket antarabangsa yang menyasarkan rakyat pelbagai negara, khususnya China, Hong Kong dan rakyat Malaysia sendiri.

Dipercayai, sindiket Macau scam dan perjudian atas talian ini melindungi tidak kurang 10 sindiket besar di Malaysia. Rata-rata pekerjanya terdiri daripada rakyat Malaysia dan China, bergantung kepada kumpulan sasaran sindiket ini. Upahnya lumayan dan risiko ditangkap agensi penguat kuasa dikatakan rendah.

Berikut antara modus operandi sindiket:

1. Agensi penguatkuasaan mengesan dan membocorkan maklumat kepada ketua kumpulan terbabit berhubung operasi yang akan dijalankan ke atas sindiket.

2. Berpakat dengan pihak berkuasa untuk membuat serbuan dan tangkapan ke atas sindiket terbabit. Dalang akan mengatur pertemuan dengan sindiket yang diserbu pihak berkuasa dan meminta wang perlindungan untuk melepaskan pekerja ditahan.

3. Menetapkan bayaran bulanan daripada sindiket Macau scam dan perjudian atas talian sebagai wang perlindungan dan jaminan bebas daripada tindakan undang-undang.

4. Bertindak sebagai penyedia logistik, termasuk menyediakan pusat operasi sindiket yang kebiasaannya terletak di banglo dan kondominium eksklusif. Dalang itu akan mencari dan menyewa rumah/kondominium/pejabat untuk dijadikan pusat operasi. Ini bermakna sindiket di bawah perlindungan kumpulan itu terpaksa menyewa daripada dalang terbabit.

Keuntungan berlipat ganda dikutip dalang apabila menyewakan semula rumah/kondo/pejabat dengan kadar sewa berlipat ganda.

5. Dalang akan menentukan tempoh sesebuah tempat itu dijadikan pusat operasi. Ini bergantung kepada “panas” atau tidak kawasan kejiranan terbabit. Pusat operasi akan berpindah-randah dari rumah/kondo/pejabat bagi mengelakkan dihidu masyarakat setempat. Ini kerana jumlah pekerja warga China atau tempatan yang terlibat adalah ramai.

Sebagai contoh, dalam serbuan di pejabat di Cyberjaya beberapa tahun lalu, dianggarkan 500 warga China ditahan pihak berkuasa. Adakah proses tapisan ditetapkan kerajaan berjalan lancar? Jumlah yang ramai ini mudah menimbulkan syak wasangka masyarakat setempat. Oleh itu, mereka sering berpindah dan mendiami kawasan kejiranan eksklusif dan tersorok.

6. Salah satu sindiket yang merupakan dalang ialah pemilik pusat jualan komputer dan ICT terkemuka di Kuala Lumpur. Beliau akan menyediakan semua bentuk logistik dari segi perkakasan dan perisian komputer untuk kegunaan sindiket terbabit. Oleh itu, cukup mudah sindiket mendapatkan perkakasan dan perisian ICT bagi aktiviti mereka.

7. Membeli pusat hiburan (karaoke). Semua sindiket di bawah naungan kumpulan dalang ini dikehendaki membayar RM1 juta sebagai saham pembelian pusat karaoke ini. Selain itu, tiap-tiap malam, sindiket naungan perlu membuka 2 bilik karaoke berserta GRO dan dadah. Difahamkan sindiket terpaksa membayar puluhan ribu ringgit untuk bilik karaoke dan hiburan ini.

Oleh itu, karaoke ini tidak pernah kosong dan sentiasa penuh. Dalang juga menjadikan karaoke sebagai pusat untuk menghiburkan penguat kuasa dengan hiburan.

8. Melaburkan wang haram hasil kutipan wang perlindungan bulanan, sewa rumah/pusat operasi, peralatan logistik dan aktiviti peras ugut dalam syarikat yang sengaja diwujudkan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. Ini termasuk melaburkan wang haram dalam syarikat milik artis dan selebriti tanah air.

Difahamkan, lebih 700 syarikat digunakan dalang untuk “mencuci duit” atau pengubahan wang haram, termasuk restoran, syarikat pembinaan, ICT, karaoke, kelab malam, syarikat pinjaman wang sah dan tidak sah (along), syarikat penjualan kenderaan import dan sebagainya.

Sudah sampai masanya agensi penguatkuasaan mengatasi masalah Macau scam ini secara menyeluruh. Ketua sindiket perlu ditangkap dan ditumpaskan.

Jika masih ada penguat kuasa, termasuk pegawai kanan agensi penguatkuasaan yang bersekongkol, melindungi dan mengambil rasuah dari sindiket Macau scam serta perjudian atas talian, mereka hendaklah disiasat dan dikenakan tindakan tanpa memilih bulu.

Kajian Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah, sindiket penipuan termasuk Macau scam muncul kerana faktor pakatan sulit, iaitu kerjasama antara sindiket dan orang dalam.

Isu integriti orang dalam, sama ada agensi penguatkuasaan atau swasta turut membantu sindiket Macau scam menyebabkan ramai kerugian berjuta ringgit kerana ditipu.

Apapun, kita masih ada pegawai kerajaan berintegriti tinggi dan tegas dalam menangani isu rasuah. Kadangkala, dengan pengalaman berpuluh tahun dalam pekerjaan tidak bermakna, jika mereka tidak mempunyai integriti.

Sebagai ketua, mereka perlu bersifat telus dan memenuhi 3 kriteria ini.

Kriteria pertama berdasarkan merit seseorang yang boleh dinilai menerusi pengalaman dan profesionalisme dalam melakukan tugas. Kedua ialah intergriti, iaitu pemimpin dilantik tahu dan tidak melakukan kesalahan demi kepentingan individu.

Seterusnya ialah memilih pemimpin berani kerana benar. Ini bermaksud, apa juga tindakan, mereka perlu berani meskipun diarah atau menerima wahyu bertindak melanggar undang-undang.

Pihak berkuasa hendaklah menyiasat mereka yang terlibat dan mendalangi sindiket Macau scam dan perjudian atas talian sehingga ke lubang cacing.

Mengatasi masalah Macau scam dan perjudian atas talian bukan terletak atas bahu agensi penguatkuasaan saja. Kerjasama orang ramai diperlukan untuk mendengar nasihat pihak berwajib supaya tidak terjebak dalam aktiviti haram ini. Mereka juga perlu membuat laporan polis jika berdepan masalah Macau scam.

Hakim pula bertanggungjawab menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas penjenayah Macau scam serta perjudian atas talian untuk dijadikan pengajaran. Masalah Macau scam bukan saja boleh meruntuhkan masyarakat, tetapi turut merosakkan imej negara.

 

Akhbar Satar ialah presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM401,416.63
Ethereum (ETH) RM7,706.12
Tether (USDT) RM4.26
BNB (BNB) RM2,550.68
USDC (USDC) RM4.26
XRP (XRP) RM9.08
BUSD (BUSD) RM4.16
Cardano (ADA) RM2.82
Solana (SOL) RM617.75
Dogecoin (DOGE) RM0.723612
Polkadot (DOT) RM16.71
Polygon (MATIC) RM0.95531
Lido Staked Ether (STETH) RM7,704.12
Shiba Inu (SHIB) RM0.000054
Dai (DAI) RM4.26
TRON (TRX) RM1.06
Avalanche (AVAX) RM83.23