Intai peluang Asia Timur | Harian Metro

0

 

PERUSAHAAN dari Malaysia dijangka dapat memiliki prospek pasaran yang sangat baik di Asia Timur termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand melalui Rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

   Pensyarah, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Prof Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata, pada 15 November 2020, Malaysia antara 15 negara yang menandatangani RCEP.

   Katanya, perjanjian itu sudah pasti akan membuka peluang dan ruang luas untuk pelaburan asing bagi negara anggota.

   “Di samping itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang pasaran terbuka di bawah RCEP ini bagi meningkatkan peluang perniagaan terutama melalui platform digital dan e-dagang.

   “Dengan pandemik Covid-19 yang dijangka tidak akan berakhir dengan kadar segera, perniagaan secara dalam talian adalah pilihan terbaik bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan perniagaan PKS.

   “Commerce.Asia melaporkan transaksi e-dagang melonjak sebanyak 1,380 peratus pada Ogos 2020 berbanding tahun lalu.  

  “Sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 berjaya mempercepat penerapan cara membeli-belah dan penggunaan dalam talian bagi rakyat Malaysia.

   “Namun, agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dan SME Corp perlu menyediakan panduan dan bantuan secukupnya dalam membantu usahawan PKS meneroka pasaran global yang lebih mencabar,” katanya kepada Bisnes Metro.

   Menurutnya, skop liputan RCEP besar dan membabitkan perdagangan barang, perdagangan dalam perkhidmatan termasuk perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi, pelaburan, kerjasama ekonomi dan teknikal, harta intelek, e-dagang, pertandingan dan penyelesaian pertikaian.

   Beliau berkata, RCEP juga dijangka dapat memberi impak positif kepada perniagaan membabitkan aktiviti import dan eksport.

   “Selepas ekonomi dibuka sepenuhnya secara aktif, rantaian bekalan antara negara anggota sepatutnya dipermudah tanpa birokrasi tambahan, khususnya dari segi pelaburan dan pengurangan tarif.

   “Laluan import dan eksport antara negara anggota juga perlu berubah menjadi fast lane bagi merancakkan aktiviti perniagaan dan perdagangan.

   “Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) perlu memainkan peranan dalam memastikan aktiviti import dan eksport dapat berkembang dengan pesat sejajar dengan perancangan di bawah RCEP,” katanya.

   Selain itu, beliau berkata, RCEP juga akan menguntungkan bukan hanya komuniti perniagaan, malah dapat meningkatkan kehidupan rakyat yang merangkumi hampir satu pertiga penduduk dunia serta menjadi platfom untuk pemulihan ekonomi kerana RCEP adalah perjanjian yang sangat kritikal dan satu mekanisma yang boleh diguna pakai untuk menghadapi krisis Covid-19.

   Pelaksanaan perjanjian ini akan mendorong pembukaan semula pasaran serta memastikan rantaian bekalan tidak terganggu terutama di waktu genting.

   “Haikatnya, walaupun RCEP ditandatangani, perkara paling utama adalah memastikan kesediaan setiap negara anggota dalam melaksanakan perjanjian yang ditandatangani.

   “Setiap negara anggota hendaklah komited dan tidak menjadikan isu domestik negara masing-masing sebagai penghalang dalam melaksanakan perkara yang dirancangkan di dalam RCEP.

   “Sekiranya semua pihak dapat memberikan kerjasama, impak pelaksanaan RCEP bakal dapat dilihat dalam tempoh masa minimum dua tahun,” katanya.

Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM400,010.33
Ethereum (ETH) RM7,696.74
Tether (USDT) RM4.26
BNB (BNB) RM2,541.82
USDC (USDC) RM4.26
XRP (XRP) RM9.08
BUSD (BUSD) RM4.26
Cardano (ADA) RM2.81
Solana (SOL) RM616.04
Dogecoin (DOGE) RM0.724848
Polkadot (DOT) RM16.71
Polygon (MATIC) RM0.958029
Lido Staked Ether (STETH) RM7,694.06
Shiba Inu (SHIB) RM0.000054
Dai (DAI) RM4.26
TRON (TRX) RM1.06
Avalanche (AVAX) RM82.97