Petaling Jaya: Peneraju keperluan isi rumah, Harvey Norman Malaysia yakin cawangannya ke-25 yang juga cawangan pertama beroperasi di bangunan sendiri di sini, memiliki kelebihan untuk menarik lebih ramai pelanggan berkunjung ke premis itu.
Pengurus Besar Utamanya, Eddy Ng berkata, kedudukan bangunan itu yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan secara tidak langsung mewujudkan potensi pelanggan dalam kalangan kira-kira 1.3 juta pengguna jalan raya yang menggunakan laluan terbabit setiap hari.
Malah, kata beliau, kemudahan lebih 200 tempat letak kereta percuma buat pelanggan juga memberi nilai tambah kepada pengunjung berbanding cawangan Harvey Norman lain yang kesemua beroperasi di dalam kompleks beli-belah.
“Cawangan ini berkeluasan kira-kira 35,000 kaki persegi yang saya kira menawarkan lebih 10,000 produk merangkumi semua kategori dibawa Harvey Norman termasuk perabot, barangan elektrik dan komputer.
“Meskipun ia tidak seluas Harvey Norman di Ikano Power Centre (IPC), Mutiara Damansara yang berkeluasan lebih 60,000 kaki persegi, cawangan ini menawarkan kepantasan urusan pembelian menerusi tempat letak kereta di hadapan pintu masuk premis.
“Kebanyakan produk yang dijual di cawangan ini masih sama seperti cawangan lain, namun disebabkan pembukaan pada hari ini, tentu kami memberikan tawaran istimewa yang berbeza untuk setiap bahagian (barangan elektrik, komputer, perabot dan tempat tidur),” katanya pada sidang media selepas merasmikan cawangan itu, semalam.
Eddy berkata, meskipun berdepan kekangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, pihaknya berpuas hati kerana cawangan itu berjaya dibuka dan beroperasi semalam sebagaimana jadual asal.
“Kira-kira RM4 juta hingga RM5 juta dilaburkan untuk cawangan ini tidak termasuk kos operasi ibu pejabat yang turut berpindah ke bangunan ini di tingkat lima sejak Oktober lalu,” katanya.
“Dari segi jualan, kami fikir Harvey Norman masih merekodkan jualan yang baik mungkin disebabkan orang ramai banyak menghabiskan masa di rumah dan mula menyedari keperluan rumah yang perlu disediakan atau diganti baru.
“Mungkin juga peruntukan mereka untuk melancong digunakan bagi membeli keperluan isi rumah pula dan ini tentunya memberi kelebihan buat kami,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Maximin Corporation yang juga pemilik bangunan terbabit, David Tjhung berkata, sejumlah RM10 juta sudah dibelanjakan pihaknya bagi menaik taraf bangunan itu yang kini sudah berusia mencecah 30 tahun.
“Ini hanyalah pelaburan awal dan kerja naik taraf akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan bangunan ini lebih moden dan sesuai dengan kehendak semasa.
“Kami amat mengalu-alukan dan berbangga dengan kehadiran jenama runcit terkemuka seperti Harvey Norman untuk beroperasi di bangunan ini yang tentunya cukup sinonim malah menjadi mercu tanda di sepanjang Lebuhraya Persekutuan selama ini,” katanya yang turut hadir pada majlis itu.