Pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur akan menjadi penanda aras bagaimana khidmat majlis tempatan boleh ditingkatkan, kata ketua Bersih.
PETALING JAYA: Penganalisis politik mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di beberapa bandar terlebih dulu sebagai percubaan, bagi membentuk pemahaman dalam kalangan orang ramai berhubung perkara itu.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur merupakan kawasan ideal bagi “ujian” pilihan raya itu, sebelum diperluaskan ke bandar lain.
Beliau menggesa perdana menteri menjuarai pilihan raya kerajaan tempatan sebagai langkah terbaik memupuk pemimpin politik masa depan.
“Pilihan raya kerajaan tempatan merupakan batu loncatan masuk dalam politik kerana membolehkan mereka memahami akar umbi secara lebih berkesan, selain menjadi tempat ideal bagi anak muda belajar selok belok sebelum menjadi ADUN atau Ahli Parlimen,” katanya kepada FMT.
Fauzi berkata, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan bekas perdana menteri British, Boris Johnson, muncul sebagai pemimpin nasional selepas melalui pilihan raya kerajaan tempatan dan dilantik sebagai datuk bandar.
Pilihan raya kerajaan tempatan di negara ini digantung pada 1960, dan kemudian digantikan dengan sistem lantikan di mana datuk bandar dalam majlis tempatan di negeri serta Yang Dipertua Majlis daerah dilantik oleh kerajaan negeri.
Fauzi juga menolak kebimbangan yang tercetus sebelum ini pada pilihan raya kerajaan tempatan atas alasan politik perkauman. Katanya, kini ramai orang Melayu tinggal di kawasan bandar, berbanding pada 1960an dan 1970an.
“Peraturan pilihan raya kerajaan tempatan boleh disesuaikan dengan keadaan negara. Justeru, kita mampu menyemai demokrasi lebih baik selain memupuk idea itu dalam kalangan rakyat,” katanya.
Katanya, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming perlu mula mendidik masyarakat, berbanding melakukan penangguhan semata-mata.
Sebelum ini, Nga berkata, beliau mempunyai keutamaan lain yang perlu ditangani, melangkaui soal menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
Dalam pada itu, Thomas Fann dari Bersih, berkata Kuala Lumpur sepatutnya menjadi kawasan pertama menjalankan pilihan raya itu memandangkan ibu negara memerlukan demokrasi perwakilan.
Pilihan raya kerajaan tempatan penting demi memastikan perkhidmatan penyampaian lebih baik bermula dari bawah, katanya.
“Kebanyakan masalah harian yang kita hadapi timbul kesan keputusan majlis tempatan. Sekiranya rakyat menyedari mereka mampu meningkatkan situasi kehidupan pada peringkat itu, mereka terlibat secara aktif dalam pilihan raya kerajaan tempatan.
Beliau menggesa pemimpin Pakatan Harapan (PH) memujuk rakan gabungan lain menyokong bagi menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.