Tragedi terburuk daripada 23 tanah runtuh tahun ini

0

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali meragut 21 nyawa setakat ini. (Gambar Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan)
BATANG KALI: Tanah runtuh di tapak perkhemahan popular di sini pada Jumaat adalah kejadian tanah runtuh besar ke-23 dilaporkan berlaku di negara tahun ini dan yang terburuk setakat ini, dengan 21 orang disahkan maut, manakala 12 masih hilang.
Dalam kejadian itu, seramai 61 mangsa berjaya diselamatkan.
Tanah runtuh itu melanda tiga tapak perkhemahan di Farmer’s Organic Farm, dekat Jalan Batang Kali-Genting Highlands. Ia menjejaskan kawasan sepanjang 500m, dengan lebar 200m dan sedalam 8m. Ia melibatkan pergerakan kira-kira 450,000 meter persegi tanah, lapor Bernama.
Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa masih hilang sepanjang malam dalam keadaan hujan. Usaha mencari dan menyelamat membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas.

Anjing pengesan K9 dan anggota pasukan penyelamat dan operasi taktikal khas bersama pasukan perubatan turut terbabit dalam operasi itu.
Tapak perkhemahan ditutup
Kerajaan Selangor mengarahkan semua tapak perkhemahan dan perkelahan di negeri itu ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.
Jalan ditutup

Polis menutup Laluan B66, jalan dari Batang Kali ke Genting Highlands. Pengguna jalan raya dinasihat menggunakan jalan alternatif ke Genting Highlands melalui Jalan Hulu Yam-Batu Caves.
Pihak Resorts World Genting juga menasihatkan pengunjung menggunakan Lebuhraya Karak dan Jalan Genting Sempah untuk ke pusat percutian itu.
Guru antara mangsa
Beberapa guru sekolah dilaporkan antara pengunjung tapak perkhemahan itu. Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJKC Mun Choong di Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur berkata, kira-kira 20 guru sekolah itu dan keluarga mereka berkhemah di kawasan itu.
Yang Dipertuanya, U Chin Ong ketika ditemui di Balai Polis Hulu Yam Bharu berkata, sebahagian guru berjaya diselamatkan dan sebahagian lagi ke balai polis itu untuk memberi keterangan.
Penghulu Mukim Hulu Yam, Muhammad Nabil Salehat berkata, tanah runtuh kali ini paling serius di kawasan itu. “Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Serendah pada 2016, tetapi tidak seburuk di sini.”
23 kejadian tanah runtuh
Senarai kejadian tanah runtuh di seluruh negara tahun ini yang disusun Bernama.
1 JAN
Tujuh insiden tanah runtuh – enam di Selangor dan satu di Negeri Sembilan – dilaporkan pada hari pertama 2022.
2 JAN
Tiga belas laluan di lima daerah di Negeri Sembilan ditutup kepada semua trafik akibat tanah runtuh dan banjir.
14 FEB
Seramai 31 orang daripada sembilan keluarga kakitangan Balai Polis Tongod di Sabah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan tanah runtuh dekat balai itu.
2 MAC
Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud di Kenyir dekat Hulu Terengganu, ditutup sementara sejak 27 Feb selepas menara penghantaran voltan tinggi, yang menyalurkan bekalan elektrik ke grid nasional, tumbang akibat tanah runtuh.

8 MAC
Tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan susulan banjir kilat di ibu negara. Dua kawasan terbabit ialah rizab jalan di 1/27 Taman Gembira dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan, Selangor, manakala sebuah lagi kawasan di Seksyen 6, Wangsa Maju membabitkan tanah persendirian.
10 MAC
Empat maut dan seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, Selangor. Tambahan, 15 rumah musnah dan 10 kenderaan turut terjejas.
10 APRIL
Hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan banjir di beberapa kampung di daerah Tuaran, Sabah, manakala lima rumah terjejas akibat tanah runtuh di projek penempatan Telipok.
15 MEI
Dua wanita maut dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Pahang.
14 JUN
Tanah runtuh berlaku di Jalan Tun Dr Ismail, Taman Bukit Sentosa, Kuala Lumpur, selepas hujan lebat selama beberapa jam yang menjejaskan sebuah substesen Tenaga Nasional di sana.
24 JULAI

Seorang pekerja pembetungan cedera selepas terperangkap selama empat jam dalam runtuhan tanah ketika melakukan kerja baik pulih loji kumbahan di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Johor.
28 JULAI
Dua kanak-kanak maut, manakala dua orang dewasa cedera selepas rumah mereka di Taman Elok, Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu, Sabah, dilanda tanah runtuh.
29 OGOS
Enam rumah di Rumah Rakyat Batang Benar di Nilai, Negeri Sembilan, retak dan runtuh akibat kejadian tanah mendap selepas hujan lebat.
1 NOV
Enam lelaki terperangkap dalam kejadian tanah runtuh dekat Empangan Tenom Pangi, Sabah.
15 NOV
Tiga sekeluarga dikejutkan daripada tidur apabila banglo mereka di Taman Halaman, Ampang, Selangor, dihempap tanah runtuh yang menyebabkan sebahagian dinding belakang runtuh.
16 NOV
Sebahagian daripada beberapa rumah Orang Asli di Kg Kerawat, Simpang Pulai, Perak, tertimbus dalam runtuhan tanah, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
17 NOV
Tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Mantin Batu 8 menyebabkan kedua-dua arah Jalan Mantin-Seremban di Negeri Sembilan terpaksa ditutup sementara untuk kerja pembersihan dan penebangan pokok.
Kira-kira 25 orang daripada lima keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Raya terkandas selepas tanah runtuh dan pokok tumbang memutuskan laluan ke kampung mereka.
26 NOV
Seorang lelaki terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Blue Valley di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.
2 DIS
Kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan merosakkan bahagian depan sebuah rumah teres di Taman Sri Anggerik di Rantau, Seremban.
9 DIS
Enam orang terselamat daripada kejadian tanah runtuh di Taman Halaman, Ampang, Selangor. Rumah mereka mengalami kerosakan.
10 DIS
Penghuni tiga rumah di Taman Halaman, Ampang, Selangor, diarah berpindah susulan jangkaan pergerakan tanah akibat hujan lebat berterusan di lokasi dilanda tanah runtuh itu.
16 DIS
Seramai 94 orang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, dekat Gohtong Jaya, Pahang. Polis mengesahkan 21 maut dan 12 lagi hilang setakat 7 malam.

Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM460,654.37
Ethereum (ETH) RM10,803.32
Tether (USDT) RM4.23
BNB (BNB) RM2,850.37
USDC (USDC) RM4.23
XRP (XRP) RM9.94
BUSD (BUSD) RM4.19
Cardano (ADA) RM3.21
Solana (SOL) RM746.19
Dogecoin (DOGE) RM0.963839
Polkadot (DOT) RM19.38
Polygon (MATIC) RM1.00
Lido Staked Ether (STETH) RM10,799.77
Shiba Inu (SHIB) RM0.000061
Dai (DAI) RM4.23
TRON (TRX) RM1.15
Avalanche (AVAX) RM97.65