AEON Co (M) Bhd (Aeon) akan memperkemas strategi perniagaan pada tahun ini bagi memastikan harapan untuk mengekalkan keuntungan sama seperti tahun lalu berjaya direkodkan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin berkata, biarpun berdepan cabaran semasa khususnya wabak Covid-19 ketika ini, beliau melihat kewujudan peluang untuk mengembangkan perniagaan dalam pelbagai segmen lain antaranya penghantaran.
Jelas beliau, segmen itu ternyata menyaksikan peningkatan sehingga 40 peratus dari segi purata jumlah jualan setiap hari sejak wabak terbabit melanda negara ini awal Januari lalu.
“Kita sememangnya bekerjasama erat dengan Happy Fresh bagi tujuan penghantaran terus ke rumah pelanggan dan akan terus meneliti segenap potensi yang wujud untuk menambah baik perkhidmatan segmen ini.
“Pelbagai strategi lain turut dirancang dan akan dimuktamadkan termasuk pelan untuk tiga tahun akan datang yang akan diumum pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat, 20 Mei depan,” katanya selepas merasmikan Kempen Raikan 101 Hari Bersama Aeon – Sama-Sama Lagi Best di sini, semalam.
Kempen berkenaan menawarkan pelbagai penjimatan serta nilai tambah buat pelanggan sempena Ramadan dan Syawal ini yang akan bermula pada 20 Mac ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Aeon sebagai bertuah disebabkan hampir semua pasar raya termasuk kompleks beli-belahnya tidak berada di kawasan tumpuan pelancong justeru kurang terimpak dengan Covid-19.