AGROBANK mengumumkan beberapa langkah dalam membantu pelanggan termasuk inisiatif yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan beban kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.
Moratorium Agrobank menawarkan kelegaan segera sehingga enam bulan untuk pembayaran bulanan pembiayaan kepada pelanggan sedia ada.
Agrobank juga akan mengambil kira permintaan pelanggan yang terjejas untuk menjadualkan semula pembayaran balik pembiayaan, sebagai langkah menyusun semula aliran tunai mereka.
Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, memandangkan situasi semasa berkaitan penularan wabak Covid-19, Agrobank secara proaktif menyediakan beberapa inisiatif dalam bentuk bantuan kewangan bagi memulihkan perniagaan PKS yang terkesan daripada pandemik Covid-19 ini.
“Selain Program Penangguhan Pembiayaan (Moratorium), Agrobank melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan Kemudahan Bantuan Khas bernilai RM2 bilion yang akan digunakan dalam bentuk modal kerja untuk membantu PKS menangani impak Covid-19.
“Ini penting bagi PKS terutama dalam sektor pertanian dan agromakanan untuk meneruskan operasi perniagaan mereka dan mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek.
“Melalui program ini, Agrobank akan menyediakan kemudahan pembiayaan bebas cagaran sehingga RM1 juta bagi setiap PKS dengan kadar keuntungan yang kompetitif yang dihadkan pada 3.75 peratus setahun.
“PKS yang layak boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan ini dengan Agrobank untuk tempoh sehingga 5.5 tahun termasuk tempoh penangguhan bayaran selama 6 bulan,” katanya.
Menurutnya, selain dua kemudahan khas ini, Agrobank juga menawarkan kemudahan pembiayaan lain di bawah Pakej Rangsangan 2020 yang di umumkan seperti Kemudahan Agrofood (AF) berjumlah RM1 bilion serta Kemudahan Automasi dan Digitalisasi SME (ADF) bernilai RM300 juta.
“Kedua-dua AF dan ADF ini bertujuan untuk memberi sokongan kepada PKS dalam menangani situasi ekonomi yg mencabar.
“Kami terus memantau perkembangan Covid-19 dan sentiasa bersedia untuk menyokong pelanggan Agrobank dengan menawarkan penyelesaian kewangan terbaik terutama pada masa sukar ini.
“Pegawai kami yang berurusan secara langsung dengan pelanggan dilatih untuk mengenal pasti, membantu dan memberikan mereka sokongan kewangan yang tepat untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka yang unik,” katanya.