GUA MUSANG: Tindakan sekumpulan ahli Bersatu termasuk bekas timbalan ketua Gua Musang Che Ariffin Hussin menyertai Umno tidak melumpuhkan Bersatu Nenggiri sebaliknya menyelesaikan masalah dalaman bahagian itu.
Ketua Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Noor berkata laporan mendakwa seramai 480 ahli Bersatu menyertai Umno jugak tidak benar kerana hanya segelintir yang bermasalah termasuk Che Ariffin sahaja keluar parti.
“Ada aduan Che Ariffin dan rakan-rakannya ini bersekongkol dengan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim yang telah lucut keahliannya (dari Bersatu). Mereka sedang menunggu untuk dikenakan tindakan disiplin.
“Jadi dengan tindakan Che Ariffin dan rakan-rakan ini (menyertai Umno) menyelesaikan masalah dalaman Bersatu Gua Musang. Lebih baik mereka berpindah parti daripada menjadi gunting dalam lipatan,” katanya kepada FMT.
Kamaruddin berkata, jawatankuasa Bersatu Gua Musang sebenarnya digantung sejak beberapa bulan lalu dan satu jawatankuasa penaja dibentuk oleh Majlis Pimpinan Tertinggi diketuai Adun Paloh, Shaari Mat Hussain.
Katanya, tindakan kumpulan itu juga tidak menjejaskan sokongan dan kempen Perikatan Nasional kerana majoriti mereka yang menyertai Umno itu bukan pengundi di Nenggiri.
Terdahulu, seramai 480 ahli Bersatu di DUN Nenggiri didakwa mengumumkan keluar parti dan menyertai Umno berkuatkuasa hari ini.
Penyertaan mereka diketuai Che Ariffin yang disaksikan Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi dalam satu majlis di Pusat Daerah Mengundi Jerek.
Che Ariffin mendakwa tindakan keluar parti itu sekali gus menyaksikan semua 12 cawangan Bersatu di Nenggiri ‘lumpuh’.