P S Ranjan (kiri) bersama anaknya Prasad berlatih untuk larian sejauh 10km.
PETALING JAYA: Seorang peguam kanan yang juga aktivis anti-perhambaan akan berlari sejauh 10km di Kuala Lumpur pada Ahad bagi meningkatkan kesedaran berhubung kegiatan perhambaan dan pelbagai bentuk buruh paksa.
P S Ranjan, 71, akan melakukan larian itu dengan ditemani anaknya, Prasad, 24, pada 7 pagi dari rumah mereka di Damansara ke Bukit Persekutuan dan kembali.
“Ia acara peribadi kerana saya tidak mahu melalui formaliti dengan pihak berkuasa,” katanya kepada FMT.
Ranjan, yang berlatih untuk acara itu sejak April tahun lalu, berharap dapat menamatkan larian dalam 90 minit.
Kira-kira 165 rakannya dan penyokong akan berkumpul di Kelab Diraja Selangor selepas acara itu selesai, dari 10 pagi hingga 2 petang.
“Saya berharap dapat mengumpul antara RM15,000 hingga RM20,000 daripada mereka sebagai penghargaan terhadap usaha saya.”
Katanya, sumbangan itu akan dihantar ke Anti-Perhambaan Antarabangsa yang berpangkalan di London, organisasi hak asasi manusia tertua di dunia yang diasaskan pada 1839.
Ranjan yang merupakan ahli badan antarabangsa itu selama kira-kira 25 tahun, mahu meningkatkan kesedaran berhubung keburukan perhambaan dan pelbagai bentuk buruh paksa melalui larian itu.
“Di Malaysia, terdapat kes seperti buruh kanak-kanak dan pelacuran paksaan,” katanya merujuk kes baru-baru ini membabitkan seorang lelaki dipenjara 10 tahun kerana memaksa isterinya melacur untuk melangsaikan hutangnya.
“Ia adalah serangan keterlaluan ke atas maruah manusia,” kata Ranjan, yang pernah menyediakan bantuan kepada kumpulan itu apabila melihat laporan media berhubung layanan teruk terhadap pembantu rumah di Malaysia.
Ranjan berharap lebih ramai anak muda akan menjadi sukarelawan bagi memperjuangkan anti-perhambaan.
Katanya, beberapa NGO berkaitan buruh menyokong dan memperjuangkan hak pekerja migran yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Sementara itu, mereka yang berminat menyokong usaha Ranjan menentang perhambaan dan buruh paksa boleh menyalurkan sumbangan ke www.antislavery.org/donate atau www.justgiving.com/fundraiser/Ranjan-Paramalingam.