Ahli masyarakat juga perlu menggalas peranan lebih signifikan dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan, titah Tengku Permaisuri Norashikin. (Gambar Facebook Royal Selangor Official)
PETALING JAYA: Pihak berkuasa khususnya majlis perbandaran seharusnya memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka, titah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Sambil menzahirkan rasa dukacita Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.dan kecewa susulan tular gambar serta video anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di Selangor, baginda bertitah pihak berkenaan perlu meneliti pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat kurungan haiwan terbiar.
Baginda yang juga Penaung Diraja kempen “Stray Free Selangor” (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) menitahkan supaya prosedur operasi standard (SOP) harian yang diguna pakai disemak semula, menurut laporan Bernama.
“Ini kerana jika SOP semasa ini terbukti berkesan, tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing tersebut seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus,” titahnya menerusi hantaran di akaun Facebook Selangor Royal Office.
Baginda turut mencadangkan agar usaha ke arah memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan terbiar dipergiat menerusi kempen “Create Caring and Compassionate Communities” (CCC).
“Antara perkara yang digariskan dalam kempen itu ialah memperkasa semula kolaborasi dan kerjasama antara majlis perbandaran dan penduduk taman perumahan terlibat.
“Majlis perbandaran dengan kerjasama SPCA juga boleh mengendalikan sesi ‘responsible pet ownerships’ (RPO) bersama penduduk, serta menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan NGO ke pusat kurungan haiwan terbiar,” titahnya.
Baginda mencadangkan pegawai kebajikan haiwan bersama pencinta haiwan ditempatkan di setiap zon daerah, seterusnya dilatih untuk menggalakkan pengkasian haiwan terbiar di bawah kempen SFS.
Selain itu, baginda mencadangkan pihak berwajib mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan SPCA serta NGO sekiranya wujud keperluan bagi melupuskan haiwan terbiar atas sebab kesihatan atau sebagainya.
“Di samping tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh pihak berwajib, setiap ahli masyarakat juga perlu menggalas peranan yang lebih signifikan khususnya dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan dan prihatin dengan keadaan sekeliling,” titahnya.
Media semalam melaporkan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerusi Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP), akan meneliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan anjing di bawah seliaannya.
Ia susulan tular beberapa keping gambar anjing yang kurus dan kelihatan tidak terurus di pusat kurungan haiwan yang didakwa bawah kendalian MPKL.