Bangladesh menghadapi kekacauan sejak 15 Julai berikutan protes pelajar membantah kuota pekerjaan kerajaan.(Gambar AP)
DHAKA: Bangladesh menyambung semula perkhidmatan Internet mudah alih pada petang Ahad, selepas 10 hari tanpa perkhidmatan akibat keganasan yang tercetus berikutan protes pelajar mengenai kuota pekerjaan kerajaan.
Timbalan Menteri Pos, Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Zunaid Ahmed Palak berkata, perkhidmatan itu disambung semula pada 3 petang waktu tempatan, lapor Agensi Anadolu.
Katanya, memandangkan pelanggan tidak dapat menggunakan pakej yang telah mereka bayar, pengguna akan mendapat bonus data 5GB selama tiga hari.
Kerajaan mematikan perkhidmatan Internet mudah alih pada 17 Julai dan perkhidmatan jalur lebar pada 18 Julai di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak semasa protes berkenaan.
Perkhidmatan Internet jalur lebar disambung semula pada 23 Julai, dan perintah berkurung yang dikenakan untuk menangani situasi ketenteraman awam mula dilonggarkan.
Lebih 200 orang terbunuh sejak 16 Julai, menurut anggaran bebas kerana kerajaan belum mengeluarkan jumlah rasmi. Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan lain masih ditutup.
Pertempuran bermula pada 15 Julai antara polis dan penunjuk perasaan terdiri daripada pelajar menuntut penamatan kuota memperuntukkan 30% pekerjaan kerajaan untuk saudara-mara veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan 1971.
Susulan kekacauan itu, Mahkamah Agung mengarahkan kerajaan mengurangkan kuota 30% untuk keturunan veteran kepada 5%.
Sementara itu, kuota untuk etnik minoriti, golongan transgender dan orang kurang upaya dihadkan kepada 2%.
Source link