Kasthuri Patto dan Charles Santiago mengharapkan lebih daripada seorang wakil India dalam Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA: Dua bekas Ahli Parlimen terkejut hanya seorang wakil India dilantik ke Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar daripada DAP ialah satu-satunya wakil India itu. Sebagai menteri sumber manusia, beliau mengikut jejak M Kula Segaran yang memegang portfolio itu dari 2018 ke 2020.
“Walaupun hala tuju untuk politik sepatutnya buta warna…saya rasa kami masih cenderung ke arah itu,” kata bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.
“Saya mengharapkan lebih daripada seorang menteri (India, tetapi) saya agak teruja melihat apa yang beliau (Sivakumar) akan lakukan.”
Kasthuri gembira melihat Hannah Yeoh dilantik sebagai menteri belia dan sukan.
“Pemimpin wanita terakhir yang mengambil peranan itu ialah Azalina Othman Said dari 2004 hingga 2008, jadi ia menyegarkan untuk melihat wanita dilantik ke jawatan itu lagi.”
Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, tidak mudah untuk Anwar memenuhi tuntutan semua parti dalam kerajaan perpaduannya.
“Kabinet mendapat semua perwakilan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak – tetapi saya rasa mungkin ada ruang untuk seorang lagi wakil India. Mungkin menteri perpaduan negara boleh diberikan kepada wakil India.”
Terdahulu, Anwar mengumumkan 28 anggota Jemaah Menteri untuk kerajaan perpaduannya.
Terdapat lima menteri wanita dan empat menteri bukan Ahli Parlimen yang perlu dilantik sebagai senator sebelum mereka boleh menyertai Jemaah Menteri. Mereka ialah Tengku Zafrul Aziz, Saifuddin Nasution Ismail, Zambry Abd Kadir dan Na’im Mokhtar.
Jemaah Menteri terdiri daripada 15 wakil Pakatan Harapan melalui PKR, DAP, Amanah dan Upko; Barisan Nasional (6) melalui Umno; Gabungan Parti Sarawak (5) melalui PBB, PRS dan PDP; serta Gabungan Rakyat Sabah (1) melalui Bersatu Sabah. Na’im tiada parti.