Komander Esscom, Victor Sanjos, berkata usaha pemerkasaan keselamatan akan memastikan kesejahteraan di Esszone serta membantu merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan terbabit. (Gambar Bernama)
LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berharap Belanjawan 2025 memberi perhatian lebih kepada usaha memperkukuhkan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Komander Esscom, Victor Sanjos, berkata langkah itu termasuk pembelian aset baharu serta pembinaan pos keselamatan di lokasi strategik untuk memperkuatkan pertahanan di Esszone.
Menurutnya, usaha ini diharapkan dapat merealisasikan dua misi utama Esscom, iaitu mencegah pencerobohan kali kedua dan memastikan sifar kejadian penculikan untuk wang tebusan (KFR).
“Sudah empat tahun kita berjaya mengelakkan sebarang insiden, tetapi kita mahu terus memperkukuhkan pertahanan di kawasan terlibat,” katanya kepada Bernama.
Victor berkata, usaha pemerkasaan keselamatan itu akan memastikan kesejahteraan di Esszone serta membantu merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut.
Selain itu, beliau menegaskan kebajikan warga Esscom, khususnya anggota bertugas di lapangan juga perlu diberikan perhatian, seiring hasrat Kementerian Dalam Negeri menjaga kebajikan anggota bertanggungjawab mempertahankan keselamatan negara.
Esszone merangkumi 10 daerah, termasuk Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, dengan keluasan keseluruhan 1,733.7km.
Source link
Next Post