Seorang peguam berkata, peruntukan membenarkan penahanan selepas dibebaskan sementara menunggu rayuan melanggar kebebasan individu. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang menafikan ikat jamin individu dituduh mengikut akta itu atas dakwaan kesalahan jenayah terancang dan pemerdagangan manusia perlu dikaji semula, kata seorang peguam.
T Harpal Singh berkata, ini kerana kes yang dibicarakan mengikut akta berkenaan boleh berlangsung dua hingga lima tahun untuk selesai di Mahkamah Tinggi. Apabila ikat jamin dinafikan, tertuduh terpaksa meringkuk dalam penjara.
“Ikat jamin perlu ditawarkan memandangkan kesalahan ini tidak membabitkan kekerasan ataupun menggugat ketenteraman awam,” katanya kepada FMT, sambil menyatakan peruntukan sedia ada didapati agak keras.
Harpal berkata, ketika ini, polis dan pendakwa raya cenderung bergantung kepada Sosma sebagai undang-undang prosedur ketika menyiasat dan melakukan pendakwaan, berbanding menggunakan Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan 1950.
Katanya, Sosma digunakan meluas mendakwa individu terlibat jenayah terancang mengikut Bab 6B Kanun Keseksaan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Sebagai contoh, Harpal menyatakan dua kes ATIPSOM yang dikendalikannya di mana anak guamnya berada di penjara selama empat tahun dan enam bulan, namun kemudian dibebaskan.
“Adalah tidak adil untuk menahan anak guam saya bagi tempoh panjang seperti itu,” katanya sambil menambah direman terlalu panjang menyebabkan keluarga kehilangan pencari nafkah.
Katanya, akaun bank suspek dan keluarga mereka juga dibekukan mengikut undang-undang anti-pengubahan wang.
Harpal berkata, Sosma boleh digunakan sekiranya tertuduh didakwa terlibat dalam keganasan mengikut Perkara 6A Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, peguam, S Preakas juga menggesa kerajaan menggugurkan peruntukan dalam Sosma yang membenarkan penahanan individu yang dibebaskan dari penjara sehingga pihak pendakwaan menggunakan semua proses rayuan.
“Ini menekan kebebasan individu itu dan menghina keputusan mahkamah,” katanya.
Sebagai perbandingan, Preakas berkata, mereka yang dikenakan tuduhan atas kesalahan seperti membunuh dan penyeludupan dadah yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, juga tidak dibenarkan ikat jamin.
“Bagaimanapun, mereka bebas daripada ditahan apabila mahkamah memberi pembebasan terhadap tuduhan dikenakan,” katanya.
Preakas berkata, tidak logik untuk terus menahan seseorang apabila mahkamah sudah membebaskan mereka daripada tuduhan kesalahan jenayah terancang dan penyeludupan manusia.
Hukuman bagi dua kesalahan itu antara lima hingga 20 tahun penjara.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution memberi petunjuk bahawa kerajaan tidak akan menyemak semula Sosma.
Justeru, ia membangkitkan rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), NGO hak asasi serta aktivis. Mereka mendakwa PH mengambil pendirian berbeza untuk mereformasikan undang-undang berkenaan.
Bagaimanapun, memansuhkan Sosma bukan janji disenaraikan dalam manifesto PH pada PRU15.
Saifuddin kemudian mengakui beberapa peruntukan dalam Sosma perlu disemak “dari semasa ke semasa”, walaupun menteri itu menegaskan tiada sebarang pindaan akan dibuat kepada akta itu ketika ini.