Menteri Sarawak, Fatimah Abdullah berkata ini penting bagi menjamin masa depan kanak-kanak berkenaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak menggesa Putrajaya memberikan kerakyatan secara automatik kepada kanak-kanak terabai yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat Sarawak Fatimah Abdullah berkata ini penting bagi menjamin masa depan kanak-kanak berkenaan.
“Mengikut pengalaman kami, sangat sukar untuk pegawai dan kakitangan institusi kebajikan menentukan ibu bapa kandung kanak-kanak terabai, walaupun pelbagai usaha dilakukan.
“Disebabkan itu kami meminta supaya kanak-kanak di bawah jagaan institusi kewangan ini, khususnya bayi yang diabaikan, diberi pertimbangan khas,” katanya menurut Borneo Post.
Fatimah berkata ini juga akan meringankan beban ibu bapa yang mengambil kanak-kanak berkenaan sebagai anak angkat, kerana tidak perlu melalui pelbagai halangan apabila membuat permohonan kerakyatan untuk anak berkenaan.
“Mereka mempunyai niat baik menjaga dan memberikan masa depan lebih baik untuk anak yang terabai atau terbuang ini. Disebabkan itu kami meminta pertimbangan khas supaya mereka diberikan kerakyatan.
“Jika tidak masalah itu akan ditanggung ibu bapa angkat mereka,” katanya.
Kerajaan berdepan tentangan selepas mencadangkan lapan pindaan terhadap peruntukan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang turut termasuk pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak tidak bernegara.
Pelbagai kumpulan mengkritik cadangan pindaan itu kerana dilihat mungkin menyukarkan permohonan kerakyatan untuk kanak-kanak tidak bernegara dan terbiar.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan anak terbiar masih boleh didaftarkan sebagai warganegara asalkan kelahiran didaftarkan sebaik mereka ditemui.Stay current – Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Menurutnya, anak terbiar yang lebih besar juga boleh memohon kerakyatan mengikut Seksyen 15A Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan Putrajaya “kuasa khas” untuk mendaftarkan sesiapa yang berusia bawah 21 tahun sebagai warganegara dalam keadaan khusus tertentu.
Source link