MINDA Usahawan Solution menyasarkan untuk membimbing dan melatih lebih kurang 10,000 usahawan menjelang 2021 melalui program Cikgu Usahawan Business School (CUBS).
Pengasas dan Pengurusnya, Adnan Mohd Farok berkata, sejak program itu diperkenalkan pada 2015, pihaknya sudah berjaya membimbing hampir 15,000 usahawan
Sehubungan itu, pihaknya yakin sasaran tahun depan itu dapat dicapai terutama menerusi pembelajaran secara dalam talian.
Katanya, dengan yuran serendah RM99, tujuan utama program untuk membantu usahawan kurang berkemampuan dan memastikan mereka berniaga dengan ilmu dan bimbingan mentor.
“Syukur sambutan yang diterima begitu menggalakkan daripada usahawan seluruh Malaysia terutama usahawan baru dan lama yang masih tercari-cari ‘rentak’.
“Malah, misi kami adalah untuk menjadi sebuah akademi yang menghimpunkan dan melahirkan usahawan berilmu dan berjaya di mana kami merancang untuk bekerjasama dengan badan kerajaan yang berkaitan keusahawanan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Adnan berkata, bagi memastikan lebih ramai yang menerima manfaat daripada CUBS, yuran RM99 yang dikenakan itu akan dikekalkan.
“Yuran RM99 asas pada platform CUBS ini, justeru, yuran ini akan dikekalkan.
“Bagaimanapun, usahawan juga boleh memilih untuk program pensijilan, intensif dan lain-lain yang bersesuaian kerana matlamat kami ialah belajar dulu, kembangkan perniagaan dan buat keuntungan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya melihat antara permasalahan utama dihadapi oleh usahawan adalah masih mempunyai tahap kekuatan mental yang rendah dan keberanian dalam meneroka peluang serta ilmu baru.
Malah, mereka juga tidak mempunyai kaedah pengurusan yang betul.