PETALING JAYA: Mangsa banjir perlu mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membolehkan bantuan wang ihsan disalurkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.
Beliau berkata, mangsa banjir yang mendaftar di PPS tetapi tidak tinggal di sana akan diberi pertimbangan untuk pemberian bantuan wang ihsan.
“Kita menyerahkan (bantuan wang ihsan) kepada 800 mangsa menyenaraikan diri sebagai penerima bantuan, tetapi saya diberitahu oleh pegawai daerah Penampang terdapat 2,000 terjejas tidak dapat bantuan itu kerana mereka tidak masuk ke PPS, mereka duduk di tempat lain.
“Saya beritahu pada mesyuarat tadi supaya sebelum menuntut sebarang bantuan wang ihsan, mereka hendaklah mendaftarkan diri sebagai mangsa banjir,” katanya menurut Bernama selepas menutup Himpunan dan Konvensyen Barisan Nasional Sabah di Sandakan.
Pagi tadi, Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat menghadiri sesi taklimat dan laporan kewangan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah di Sandakan.
Selain bantuan wang ihsan, katanya, ada beberapa perkara lain turut dibincangkan, termasuk empat jambatan runtuh di Sabah.
“Jambatan di Penampang itu kita akan lakukan pembinaan secepat mungkin.”