KUALA LUMPUR: Daim Zainuddin memohon agar kes pengisytiharan asetnya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen lain bagi mengelak kemungkinan berat sebelah jika hakim yang mendengarnya turut mendengar tuduhan serupa terhadap isterinya.
Dalam permohonan yang difailkan pada Selasa, bekas menteri kewangan itu berkata, hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi tidak sepatutnya mendengar tuduhan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beliau dan isterinya, Naimah Khalid, atas kesalahan gagal mengisytiharkan pemilikan aset tertentu.
Di mahkamah hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mengesahkan permohonan itu disampaikan kepada pihak pendakwaan semalam.
Katanya, pihak pendakwaan bercadang memfailkan afidavit menjawab permohonan Daim.
Azura kemudian menetapkan permohonan itu didengar pada 4 Julai.
Daim diwakili M Puravalen and Nizamuddin Abdul Hamid selaku peguam.
Awal tahun ini, Daim mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana didakwa gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan agensi antirasuah itu.
Dia didakwa gagal mengisytiharkan hak milik ke atas 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur, serta enam hartanah.
Daim juga didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan Amanah Saham Nasional Bhd dan akaun Amanah Saham Nasional, serta tujuh kenderaan mewah.
Dalam tuduhan berasingan, Naimah didakwa bawah peruntukan sama kerana gagal mengisytiharkan pemilikan pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah dan dua kenderaan.