KUALA LUMPUR – Suria FM sekali lagi tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan wajah baharu bagi segmen malamnya yang kini diberi nafas segar menerusi program bertajuk Kafe Suria. Lebih menarik, segmen ini akan mula bersiaran secara rasmi pada 19 Mei 2025, bakal dikemudi oleh penyampai muda dan penuh karisma, Irsyad Tarudin, yang akan menemani pendengar setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Irsyad, anak jati Kedah berusia 26 tahun bukan calang-calang orangnya. Di sebalik senyuman mesra dan gaya penyampaiannya yang santai, beliau sebenarnya merupakan pelajar Sarjana Sains dalam bidang Akuakultur di Universiti Putra Malaysia (UPM) serta bekas pemandu e-hailing. Kisah transformasinya daripada bekerja siang malam demi menampung kehidupan dan pembelajaran, kini menjadi inspirasi apabila berjaya menggapai impian sebagai penyampai radio profesional.
“Saya tidak datang untuk mengubah suasana yang telah terbina, sebaliknya menghormati legasi itu sambil membawa elemen baharu yang lebih segar dan sesuai dengan selera generasi muda,” ujar Irsyad ketika ditanya mengenai peranannya menggantikan segmen Suria Cinta kendalian DJ Lin yang kini beralih ke hujung minggu.

Kafe Suria membawa konsep kafe moden yang mesra dan interaktif, sesuai untuk mereka yang ingin ‘chill’ selepas seharian penat bekerja atau belajar. Dikenali sebagai ‘barista maya’, Irsyad menyajikan hiburan santai dalam bentuk empat segmen istimewa iaitu:
-
NTT (Nak Tahu Tak?) – Sorotan isu viral, makanan trending, gajet baharu dan info menarik bermula jam 8 malam.
-
ON SET – Kupasan drama, filem serta trivia hiburan pada jam 9 malam.
-
KOLPI (Call & Kopi) – Interaksi bersama pendengar menerusi panggilan dan ucapan pada jam 10 malam.
-
LAST (Lagu Sebelum Tidur) – Jam terakhir penuh emosi dengan lagu-lagu galau dan permintaan cinta mulai jam 11 malam.
Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin, turut menyatakan keyakinan terhadap penyertaan Irsyad, “Beliau hadir dengan pendekatan kontemporari yang mampu mendekatkan Suria FM kepada pendengar muda, di samping mengekalkan roh dan keistimewaan malam Suria.”
Irsyad yang juga pernah menuntut di MRSM Kepala Batas dan merupakan graduan Akuakultur dari UMT, berkata bahawa kecintaannya terhadap dunia penyiaran bermula sejak kecil lagi. Setiap perjalanan dari sekolah ke rumah menjadi waktu untuk mendengar radio, yang akhirnya menyemarakkan minatnya ke arah bidang ini.
Bagi pendengar setia Suria FM, perubahan ini bukan sekadar pertukaran penyampai, tetapi sebuah langkah progresif yang menyegarkan kandungan malam stesen tersebut, sejajar dengan kehendak pendengar masa kini.
Jangan lepaskan peluang untuk bersama Irsyad di Kafe Suria setiap malam Isnin hingga Jumaat, 8 malam hingga 12 tengah malam hanya di Suria FM. Untuk maklumat lanjut, layari www.suria.my atau ikuti mereka di platform media sosial rasmi.