PETALING JAYA: Mekanik sambilan, Yusni Yahya menawarkan pengalaman 27 tahun menambah baik motosikal jaguh litar di bengkel seluas 20 x 20 kaki di depan rumahnya.
Dari sebuah kedai papan di tepi jalan besar Jalan Klang Lama ke bengkel depan rumah, minat mendalam Yusni, 53, atau lebih mesra dipanggil Ayus, pada sukan lumba motosikal menyaksikan beliau bergesel bahu dengan ramai jaguh litar.
Ayus dulunya seorang pelumba di Litar Batu 3, tetapi bertukar menjadi mekanik kerana tidak berpuas hati dengan “pomen” (mekanik) yang dilanggani.
“Kerja ‘pomen’ datang kemudian, sebenarnya saya lebih nak jadi ‘rider’. Sekitar tahun 1984 ke 1985, saya sudah beraksi di Litar Batu 3, tapi tidak ada ‘pomen’.

“Hantar motosikal pada orang lain, maaf cakaplah, tak nak menjatuhkan siapa siapa kan, kita bagi duit, motor kita macam itu juga.
“ Hantar dekat sini pun sama juga, sudahnya kalau macam ini, lebih baik buat sendiri,” ujarnya.
Ayus berkata, menjadi seorang mekanik memerlukan sikap sentiasa mencari ilmu dan belajar daripada pengalaman.
“Nak buat 2 kerja memang tak boleh. Nak jadi ‘rider’, kena jadi ‘rider’ sepenuh masa. Nak jadi ‘pomen’, kena jadi ‘pomen’ sepenuh masa. Kita kena pilih, korbankan ini dan jadi ‘pomen’.”
Kedai pertamanya adalah sebuah kedai papan di tepi jalan besar Jalan Klang Lama. Di situ, beliau bekerja selama 7 tahun dari 1993.

Beliau terpaksa melepaskan kedai itu kerana perlu memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya. Ayus kemudian menyewa premis di Kota Damansara.
“Kedai Jalan Klang dulu kami terpaksa keluar pasal projek Lebuhraya Baru Pantai. Kalau nak tahu tapak kedai lama, bila bayar tol, itulah dia. Tol nombor 3 dari sebelah kiri. Itulah tapak kedai lama,” jelasnya.
Kemahiran Ayus ubah suai motor lumba menjadi bualan ramai
“Berlumba bukan berlumba haram, kita lebih beraksi di litarlah.”
Hasil kerjanya membantu menaikkan nama penting dalam sukan lumba motosikal.
“Rider yang pernah saya bimbing adalah Ibrisham Daud, Shahrul Yuzy Ahmad Zaini, Ahmad Fuad, Ahmad Zamani, Nazaruddin Abdul Karim, Hamido, dan ramailah lagi.

“Saya nak ingat pun, saya pun dah lupa,” katanya.
Selepas 3 tahun di Kota Damansara, Ayus mengambil keputusan untuk membuka bengkel di depan rumah.
“Sebenarnya cerita asalnya buat motosikal untuk anak, untuk dia ‘racing’ di litar. Jadi sambil buat motosikal ‘racing’, adalah pelanggan lama datang balik dan tanya. Jadi, secara tak langsung dapat menampung kos perlumbaan.”
Ayus melatih 2 anaknya dalam bidang itu dan berbangga bahawa mereka kini bersaing dalam kejohanan Cub Prix.

“Alhamdulillah, salah seorang berjaya masuk satu team yang kira besar jugalah.”
Beliau berharap kerajaan mengembangkan lagi sukan lumba seperti membina litar di setiap negeri. Beliau percaya “outlet” seperti itu akan menarik anak muda daripada terlibat dengan acara lumba haram.
“Sepatutnya Malaysia ini, setiap negeri harus ada litar rakyat. Tak semestinya kita nak beraksi di Sepang, sebab kalau kita beraksi di Sepang kosnya terlalu tinggi. Jadi, untuk team macam kami ini, yang suam-suam kuku, memang tak boleh pergi jauhlah,” katanya.