CCTV yang dipasang di sekitar KL turut digunakan untuk mengesan kerosakan infrastruktur dan kegiatan jenayah, kata Datuk Bandar Mahadi Che Ngah. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mempertimbangkan untuk menambah sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di Kuala Lumpur untuk memantau lokasi banjir.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata, setakat ini 5,000 unit CCTV telah siap dipasang di sekitar ibu kota dan pihaknya sedang melihat keperluan untuk menambahnya.
“Setakat ini, (CCTV yang sudah dipasang) memang berkesan untuk pantau kenaikan paras air di sungai utama, kesan air bertakung,” katanya pada sidang media di Menara DBKL.
Selain itu, katanya, CCTV bukan sahaja berfungsi untuk memantau banjir, malah digunakan untuk mengesan kemalangan, kerosakan infrastruktur dan kegiatan yang melanggar undang-undang.
“(Sebelum ini), CCTV digunakan untuk tangkap seseorang yang menggunting bendera Malaysia. Tak sampai lima jam, dia ditangkap,” katanya.
Pada Mac tahun lepas, timbalan menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Jalaluddin Alias berkata, sebanyak 5,000 CCTV dijangka akan siap dipasang pada Jun tahun itu bagi tujuan mengesan banjir.