BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menggalakkan pelanggannya yang terjejas akibat Covid-19 menghubungi bank bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium enam bulan dijadualkan tamat September depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya peka dengan keperluan pelanggan.
Beliau berkata, pihaknya secara proaktif menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka mengatasi keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.
“Segmen terbabit juga adalah kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam.
“Covid-19 membawa cabaran yang tidak pernah dijangka dan kesukaran yang dialami semua pihak adalah berbeza.
“Bank Islam memberi moratorium enam bulan dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam membantu lebih 394,000 pelanggan.
“Pelan strategik sudah dirangka dan bank sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan.
“Ia supaya mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini. Apa yang perlu dilakukan hanya datang untuk berbincang dengan kami,” katanya.