KUALA LUMPUR: Hakim baharu akan mendengar perbicaraan saman fitnah RM100 juta difailkan Mabel Sheila Muttiah, bekas pegawai khas kepada bekas peguam negara Apandi Ali terhadap Clare Rewcastle Brown empat tahun lalu.
Peguam Guok Ngek Seong berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan ditugaskan untuk menggantikan Hakim Azimah Omar, yang bertukar.
“Perbicaraan lima hari mulai 14 Ogos seperti ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” katanya kepada FMT selepas pengurusan kes di hadapan Raja Ahmad Mohzanuddin yang dijalankan secara dalam talian awal hari ini.
Guok, yang mewakili Rewcastle Brown, berkata pihak hari ini juga telah memuktamadkan bilangan perenggan yang akan dikekalkan dalam pembelaan anak guamnya.
Pada 23 Mac tahun lalu, Azimah membenarkan permohonan Mabel untuk menghapuskan perenggan tertentu pembelaan yang difailkan oleh Rewcastle Brown berhubung tuntutan itu.
Permohonan untuk menghapuskan beberapa perenggan dibuat selepas Rewcastle Brown gagal menyerahkan sejumlah dokumen kepada Mabel seperti diarahkan mahkamah.
Guok berkata, Raja Ahmad Mohzanuddin turut mengarahkan pihak memfailkan semua dokumen pra perbicaraan selewat-lewatnya 5 Mac dan menetapkan tarikh pengurusan kes pada hari berikutnya.
Peguam Venothani Rajagopal, yang mewakili Mabel, mengesahkan keputusan prosiding yang berlangsung hari ini.
Mabel memfailkan saman terhadap editor Sarawak Report yang berpangkalan di London itu pada Julai 2019.
Mabel, yang kini hakim Mahkamah Sesyen, meminta ganti rugi serta arahan mandatori untuk defendan mengeluarkan artikel daripada laman webnya.
Rewcastle Brown bergantung pada pembelaan justifikasi dan keistimewaan yang layak untuk mengetepikan saman itu.
Artikel Sarawak Report, bertajuk “Bagaimana Pejabat Peguam Negara berkomplot untuk menghalang bedah siasat kedua ke atas Kevin Morais – pendedahan eksklusif”, mendakwa bahawa Mabel telah menghantar teks kepada ahli keluarga mendiang timbalan pendakwa raya itu menggesa mereka menyegerakan pembakaran mayat bagi mengelak bedah siasat kedua.
Mayat Morais ditemui dalam tong yang disimen selepas dia diculik dari keretanya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.
Seorang bekas doktor tentera dan lima yang lain dijatuhi hukuman mati pada Julai 2020 selepas mereka didapati bersalah atas pembunuhannya.
Kes itu sedang menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.