BUAT pertama kalinya, Honda Malaysia menawarkan hijab ‘sporty’ yang sesuai digayakan untuk aktiviti lasak melalui Koleksi Pakaian Aktif di bawah segmen produk gaya hidup.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, langkah berkenaan diambil selepas mengambil kira trend pengguna yang dilihat aktif dengan pelbagai aktiviti fizikal dalam mengamalkan gaya hidup sihat.
Rangkaian produk gaya hidup rasmi terbaharu diperkenalkan oleh Honda Malaysia untuk pasaran tempatan menampilkan ciri ‘Kepercayaan, Kesaksamaan dan Keperibadian’ (TEI) yang diinspirasikan daripada falsafah jenama kenderaan itu.
Untuk koleksi terbaharu ini sebanyak 21 barangan dalam empat segmen koleksi iaitu Korporat, Gaya Hidup, Pakaian Aktif dan yang terbaharu Perjalanan ditawarkan.
“Selain menawarkan pemilikan kenderaan, kami juga mahu pemilik Honda bergaya dengan produk rasmi gaya hidup Honda yang berkualiti serta boleh digayakan setiap hari,” katanya.
Koleksi TEI dijual pada harga bermula dari RM32 boleh didapati di 92 pengedar sah Honda di seluruh negara.